Sunday, June 6, 2010

Kaedah Pembelajaran Kontekstual


APAKAH yang dimaksudkan dengan kontekstual dan apalah pula keistimewaan kaedah kontekstual?

Kontekstual jika diambil daripada ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian.

Secara umum, kontekstual membawa pengertian:
  • Yang berkenaan, releven, ada hubungan atau kaitan langsung, mengikut konteks.
  • Yang membawa maksud, makna dan kepentingan (meaningful).
Oleh itu, kaedah kontekstual iaitu kaedah yang dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, seharusnya mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan atau releven bagi mereka, dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka.

Kebanyakan pelajar di sekolah tidak mampu membuat kaitan antara apa yang mereka pelajari dengan bagaimana pengetahuan itu dapat dimanfaatkan.

Ini berlaku oleh sebab cara mereka memproses maklumat dan perasaan motivasi untuk pelajar tidak tersentuh melalui kaedah pengajaran yang lazim digunakan (iaitu kaedah syarahan yang abstrak), namun mereka amat perlu memahami konsep itu untuk memudahkan mereka mengaitkannya dengan suasana dan juga dalam menempuh kehidupan masyarakat di mana tempat mereka menjalani kehidupan dan bekerja.

Secara lazimnya, pelajar dijangkakan mampu membuat kaitan ini dengan sendiri apabila berada di luar bilik darjah.

Pendekatan kontekstual menyedari hakikat bahawa pembelajaran ialah satu proses pelbagai bentuk yang kompleks yang menjangkau melepasi kaedah-kaedah jenis latih tubi dan rangsangan dan tindak balas.

Menurut teori pembelajaran kontekstual, pembelajaran hanya berlaku apabila pelajar memproses maklumat atau ilmu pengetahuan baru dengan cara tertentu sehingga ia membawa maksud atau makna kepada mereka dalam kerangka rujukan mereka sendiri (dunia dalaman bagi memori, pengalaman dan tindak balas mereka sendiri).

Pendekatan pembelajaran dan pengajaran seperti ini mengandaikan minda akan mencari maksud dalam konteks dengan cara semula jadi, iaitu berkait dengan persekitaran semasa seseorang itu. Ini berlaku dengan cara pencarian hubungan yang diterima akal dan kelihatan bermakna.

Terbentuk daripada pemahaman ini, teori pembelajaran kontekstual tertumpu pada aspek pelbagai bagi mana-mana persekitaran pembelajaran, sama ada dalam bilik darjah, dalam makmal, dalam makmal komputer, tampat atau lokasi kerja, atau di ladang tanaman.

Ia menggalakkan pendidik memilih dan/atau membina persekitaran pembelajaran yang menggabungkan seberapa banyak bentuk pengalaman yang boleh termasuk aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan.

Dalam persekitaran sedemikian, pelajar menemui perhubungan yang bermakna antara idea abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata.

Konsep dihayati melalui proses penemuan, pengukuhan dan menghubungkaitkan. Contohnya, pelajar yang mengikuti satu pelajaran Fizik berkenaan tajuk Pengkonduksian Terma mungkin mengukur bagaimana kualiti dan amaun bahan pendebat bangunan mempengaruhi jumlah tenaga yang diperlukan untuk menyejuk atau memanaskan bangunan itu.

Satu kelas Biologi atau Kimia mungkin sedang mempelajari konsep saintifik asas dengan mempelajari penyebaran AIDS atau cara bagaimana peladang menghadapi dan menyumbang kepada kemerosotan persekitaran.

Pengajaran-pembelajaran kontekstual merupakan satu konsepsi pengajaran dan pembelajaran yang membantu guru mengaitkan bahan subjek yang dipelajari dengan situasi dunia sebenar dan memotivasikan pelajar untuk membuat perkaitan antara pengetahuan dengan aplikasinya dalam kehidupan harian mereka sebagai ahli keluarga, warga masyarakat dan pekerja.

Sumber: http://www.tutor.com.my/

No comments:

Post a Comment