Item subjektif ialah item yang membenarkan subjektiviti dalam respons yang diberikan. Item ini digunakan supaya pelajar boleh mempamerkan kedalaman pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Pelajar boleh memberi respons dengan mengemukakan pelbagai jawapan yang bersifat polikotomus. Oleh itu item ini mampu disesuaikan untuk menguji tahap kognitif yang lebih tinggi seperti mentaksir kemahiran menganalisis, mensintesis atau membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara yang mana memerlukan pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir. Item subjektif juga memberi kebebasan yang agak luas kepada pelajar bukan sahaja dari segi mempersembahkan respons, tetapi juga panjang atau pendek respons itu.
Kata Tugas Item Ujian
Kata tugas adalah suatu kata kerja yang terdapat pada sesuatu item yang berfungsi untuk menyatakan tugasan yang hendak disampaikan oleh penulis item tersebut. Kata tugas ini akan mengarahkan pelajar untuk memberikan respons yang sejajar dengan tugasan item atau soalan. Oleh itu pemilihan dan penggunaan kata tugas yang sesuai pada suatu item adalah sangat penting. Kegagalan menggunakan kata tugas yang tepat dengan hasrat penulis item akan menyebabkan pelajar gagal memberikan respons seperti dihasratkan dalam peraturan pemarkahan.
Kata tugas mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan objektif penilaian yang menggunakan item berkenaan, dimana kata tugas boleh membayangkan kerencaman tugasan sesuatu item. Walau bagaimana pun suatu kata tugas itu tidaklah unik bagi sesuatu objektif penilaian sahaja, kerana terdapat kata tugas yang sama apabila dikaitkan dengan tugasan item yang berlainan akan menagih corak dan jenis respons yang berlainan.
Terdapat kata tugas yang dapat berdiri dengan sendiri untuk menyatakan tugasan item. Walau bagaimanapun terdapat kata tugas yang memerlukan sokongan item daripada beberapa perkataan lain untuk menjadikan penyampaian tugasan sesuatu item itu lebih jelas.
Item Esei Jawapan Terbatas
Item jawapan terbatas berkecenderungan menghadkan bentuk dan respons pelajar. Bentuk respons biasanya dihadkan melalui skop yang disoal dan markah yang diperuntukkan. Manakala panjangnya respons adalah dari segi ruangan jawapan yang disediakan. Biasanya item ini memerlukan pelajar memberikan respons dalam satu prasa atau beberapa ayat atau satu perenggan.
Item jenis ini tidak terhad kepada menguji pengetahuan sahaja. Dengan menghadkan bentuk dan panjangnya respons pelajar, pemarkahan lebih terselaras dan dapat meninggikan kebolehpercayaan skor ujian. Respons yang diharapkan lazimnya dibina atau dipandu berdasarkan stimulus dan tugasan item. Dalam menyediakan item respons terhad, butiran yang disoal boleh melampaui tahap pengetahuan seperti mentaksir kemahiran aplikasi atau menyelesaikan masalah.
Item jawapan terbuka berupaya memfokuskan tugasan item kepada sesuatu tujuan yang khusus namun item jawapan terbuka tidak sesuai digunakan untuk menguji kemahiran intelek yang lebih tinggi. Item jawapan terbuka tidak mampu mengumpulkan evidens yang mencukupi tentang kemahiran berfikir pelajar dan berkemungkinan banyak memberi respons secara terbuka.
Item Esei Jawapan Terbuka
Item jawapan terbuka bersifat polikotomus dan mengundang pelbagai kemungkinan jawapan daripada pelajar secara bertulis. Item ini memberikan kebebasan kepada pelajar untuk merancang dan membentuk jawapan. Pelajar bebas mengemukakan idea, pendapat dan tanggapan mereka, mengorganisasikan idea, membina hujah yang logis, membentangkan penilaian sesebuah pemikiran atau mengaitkan pemikiran dan perasaan. Oleh itu jenis item ini sesuai untuk mengukur konstruk yang memerlukan pelajar menggunakan beberapa kombinasi kemahiran seperti menginterpretasi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Meskipun begitu, darjah kebebasan ini tertakluk kepada keperluan tugasan, stimulus dan prompt yang diberi. Item jenis ini membolehkan pelajar mempamerkan proses pemikiran kritis dan kreatif mereka kepada pentaksir.
Dalam item respons terbuka, pelajar diperlukan mengutip dan memilih isi-isi dan idea-idea daripada pengetahuan sendiri, menyusun idea-idea dan isi-isi itu dan seterusnya menulisnya dengan cara yang logik dan dapat difahami. Peraturan pemarkahan yang disediakan perlulah jelas, terperinci dan komprehensif.
No comments:
Post a Comment