Wednesday, June 30, 2010

Huru-hara Kiamat


SURAH al-Takwir ini termasuk dalam kategori surah Makkiah. Ia berjumlah 29 ayat dan diturunkan selepas surah al-Masad. Hubungan surah ini dengan surah Abasa yang terdahulu ialah kedua-duanya menceritakan peristiwa hari kiamat dan bala bencananya

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim meriwayatkan hadis daripada sahabat Umar r.a yang mengatakan bahawa: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin melihat hari kiamat yang seolah-olah dia melihat dengan mata kepalanya, maka bacalah: Idhashshamsu kuwwirat, idhassama'un fatarat dan idhassama'un shaqqat"

Firman Allah SWT: Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap)

Al-Maraghi berkata: Tanda-tanda datangnya hari Kiamat ialah ketika matahari digulung, cahayanya pudar dan hilang ketika dunia mengalami kehancuran sehingga tidak ada satu pun benda di alam lain yang boleh menggantikan benda-benda itu

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak

Syed Qutb berkata: Gugurnya bintang dimaksudkan ia kelak akan terjatuh bertaburan dari sistem yang mengikatnya dan akan padam cahayanya. Allah SWT sahaja yang tahu bintang manakah yang akan jatuh bertaburan

Adakah kumpulan bintang-bintang yang dekat dengan kita atau galaksi yang terdiri dari ratusan juta bintang atau seluruh bintang yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah SWT

Namun, yang pastinya ada bintang-bintang yang akan gugur bertaburan pada hari kiamat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh berita yang benar ini. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja

Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)

Al-Maraghi berkata: Sehingga ikatannya terlepas dan terhempas di padang sahara dan terbang dibawa awan di atas kepala

Firman Allah SWT: Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar

Menurut al-Qurtubi bahawa tidak terurusnya unta bunting pada saat itu hanyalah sebagai perlambangan sahaja. Ini disebabkan pada hari kiamat sudah tidak ditemui unta bunting

Tuhan menggambarkan huru-hara hari Kiamat bagaikan satu keadaan di mana seseorang berangan-angan mempunyai unta bunting 10 bulan yang nescaya unta itu akan dibiarkan sahaja kerana amat sibuk menjaga urusan dirinya sendiri yang lebih kritikal itu

Firman Allah SWT: Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan

Ibn kathir berkata: Dan umat manusia telah mengabaikan unta-unta pilihannya yang sedang bunting serta mengabaikan urusan kebajikannya sedangkan sebelum ini binatang itulah yang disayangi. Ini kerana mereka disibukkan dengan hal yang lebih utama tanpa memikirkan kewujudan hari kiamat dan peristiwa lain yang akan berlaku

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur

Al-Maraghi berkata: Ia juga bermaksud laut meluap. Perkara ini disebabkan airnya bergelombang bagaikan lautan api kerana di dalam perut bumi terdapat magma yang dapat menggegarkan permukaan bumi

Pada ketika itu air mendidih dan terus berwap sehingga yang tinggal hanya bara api sahaja.

Kajian saintifik telah menetapkan bahawa di perut bumi terdapat gunung-gunung berapi yang selalu bergejolak dan menimbulkan gempa bumi yang hebat boleh menghancurkan dataran bumi dan gunung-ganang di beberapa daerah. Contohnya gempa bumi yang telah terjadi di Nessina, Itali pada tahun 1909 dan kemudian di Jepun. Dalam beberapa hadis disebutkan: "Bahawa laut itu adalah penutup neraka jahanam"

Firman Allah SWT: Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya. Iaitu ketika jiwa itu kembali kepada jasadnya ketika memasuki awal kehidupan akhirat. Pendapat ini daripada Ikrimah, al-Dahhak dan al-Sya'bi

Firman Allah SWT: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?

Syed Qutb berkata: Kerendahan jiwa manusia di zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan miskin. Adat ini telah diceritakan oleh al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman jahiliah. Ketika inilah Islam datang menyelamatkan umat arab dari jurangnya yang dalam dan mengangkat darjat manusia seluruhnya

Firman Allah SWT: Dan apabila surat-surat amal dibentangkan

Ibn Kathir berkata: Oleh yang demikian, hendaklah seseorang memperhatikan dengan apa dia mengisi lembaran catatannya.

Mujahid berkata: Iaitu ditarik. Sedangkan al-Suddi berkata: Iaitu dibuka dan al-Dahhak mengemukakan: Mengelupas dan kemudian menghalang

Firman Allah SWT: Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya

Al-Maraghi berkata: Ketika langit sudah terbuka secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi apa yang dikatakan atas dan bawah

Firman Allah SWT: Dan apabila neraka dinyalakan menjelang

Al-Qatadah berkata: Neraka itu dinyalakan oleh murka Allah SWT dan pelbagai kesalahan anak cucu Adam a.s

Firman Allah SWT: Dan apabila syurga didekatkan

Al-Dahhak, Abu Malik, al-Qatadah dan al-Rabi' bin Khaitsam berkata: Iaitu mendekati para penghuninya

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya

Al-Maraghi berkata: Pada saat seluruh kejadian yang telah diterangkan di atas berlaku, barulah setiap orang mengetahui amalannya yang diterima dan yang ditolak

Kebanyakan manusia yang sewaktu hidupnya di dunia ini tertipu oleh pujuk rayu syaitan, pada hari kiamat kelak akan mendapati amalan-amalan mereka itu ditolak dan tidak dihargai Allah SWT. Bahkan amalan itu dijauhkan daripada Allah SWT serta dia mendapat kemurkaan-Nya

Orang yang melakukan amalannya dengan riak untuk dilihat oleh orang ramai, maka amalannya itu hanya dianggap usaha yang sia-sia sahaja dan tidak diterima oleh Allah SWT

Oleh sebab itu, kita wajib memandang perbuatan kita dengan kacamata Islam dan menimbangnya dengan timbangan yang benar. Allah SWT hanya menerima amalan yang lahir daripada hati yang berisi keimanan, penuh cinta dan mengharapkan keredaan-Nya serta melakukan kewajipan-Nya dengan bersungguh-sungguh

Semoga kita bertambah keimanan berkenaan dengan hari kiamat dan seterusnya menjadikan kita golongan yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI 
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment