Saturday, June 19, 2010

Keperluan Kebolehpercayaan Ujian Dalam Membina Alat pengujian

Atas tanggungjawab untuk memastikan pernyataan tentang pencapaian murid dalam peperiksaan mempunyai darjah kesahan yang tinggi, guru perlu pula mematuhi prinsip kebolehpercayaan. Kebolehpercayaan ialah ukuran sejauh mana skor sesuatu ujian cepat dan konsisten dalam memberi ukuran pencapaian calon yang diuji dalam pembelajarannya.

Mengikut teori pengujian klasik seawal 1903 oleh Spearman, kebolehan seseorang dalam sesuatu perkara adalah tetap dan mempunyai kuantiti tertentu sekurang-kurangnya untuk suatu tempoh tertentu. Oleh kerana cirinya yang tetap dan mempunyai kuantiti tertentu, kebolehan boleh diukur menggunakan alat yang diberi nama ujian. Walau bagaimanapun, ukuran kebolehan yang diberi oleh ujian dalam bentuk skor bukan merupakan kebolehan atau skor sebenarnya (true skor) tetapi skor dicerap (observed score) yang telah dicemari oleh skor ralat (error score). Secara matematik, Spearman menyarankan persamaan berikut:

Skor dicerap=skor sebenar + skor ralat.

Ukuran sejauhmana skor dicerap oleh sesuatu ujian menghampiri skor sebenar orang yang diuji (yakni gambaran tentang ketepatan skor ujian) menjadi asas pengiraan indeks kebolehpercayaan ujian. Tetapi, oleh kerana tiada siapa (selain Tuhan) yang dapat mengetahui skor sebenar seseorang dalam apa-apa perkara pun, pakar terpaksa mencari jalan untuk mengira indeks kebolehpercayaan menggunakan teori ralat pengukuran seperti ditunjukkan oleh persamaan di atas.
Dalam matematik, apabila kita menerima persamaan di atas, kita juga mesti menerima persamaan berikut:

Varians skor dicerap + Varians skor sebenar + Varians ralat

Varians ialah kepelbagaian dalam pengukuran yang terdiri daripada calon, soalan, pemeriksa, sekolah, pemarkahan dan lain-lain yang pastinya menyebabkan skor ujian dan ralat pengukuran yang berbagai-bagai. Dengan membahagikan semua sebutan dalam persamaan di atas dengan varians skor dicerap dan menggunakan konsep kebolehpercayaan sebagai ukuran sejauh mana skor dicerap menghampiri varians skor sebenar, Spearman memperoleh rumus kebolehpercayaan seperti berikut:
Kebolehpercayaan = 1 - Varians Ralat/Varians skor dicerap.

Daripada persamaan di atas, dua faktor yang mempengaruhi kebolehpercayaan ujian ialah ralat (error) dan pencerapan. Kebolehpercayaan menurun apabila berlaku banyak ralat dan kesilapan dalam pengukuran tetapi pada masa yang sama kebolehpercayaan meningkat apabila varians atau kepelbagaian pencerapan bertambah.
Spearman mengakui, untuk meningkatkan kebolehpercayaan, ralat hendaklah dikurangkan seminimum yang mungkin tetapi sifat ralat tidak boleh dihapuskan sama sekali.
Oleh itu, cara lain untuk meningkatkan kebolehpercayaan adalah dengan mempertingkatkan kepelbagaian pencerapan dengan kaedah yang banyak seperti membesarkan cakupan perkara yang diuji, membesarkan bilangan dan mempelbagaikan calon yang diuji, meningkatkan pengalaman dan kepakaran orang yang menguji.

No comments:

Post a Comment