Proses pembinaan ujian melibatkan prosedur-prosedur tertentu, dan setiap prosedur pula mempunyai kriteria tertentu dan perlu dipatuhi. Pembinaan item-item sama ada item-item objektif atau subjektif perlu menepati tiga kriteria utama: keakuran, ketepatan dan kesesuaian (Bahagian Kurikulum Teknikal dan Vokasional, 2006). Pada setiap kriteria pula terdapat tiga sub-kriteria lagi (rujuk Jadual 2.1). Semua kriteria perlu dipenuhi sepenuhnya untuk memastikan item-item yang dibina mempunyai darjah kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi (Bahagian Kurikulum Teknikal dan Vokasional, 2006).
Jadual 2.1
Jadual Kriteria Pembinaan Item-item
KEAKURAN | KURIKULUM |
Item-item mestilah menepati kehendak hasil pembelajaran yang terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran
|
PENENTUAN |
Item-item mestilah menepati Penentuan atau format ujian merujuk kepada jenis item-item dan juga kertas item (Kertas 1 atau Kertas 2)
| |
PELUANG |
Pelajar mesti berpeluang untuk mempelajari sesuatu tajuk atau sub-tajuk dengan mengambil kira peralatan, kepakaran guru
| |
KETEPATAN | KONSTRUK |
Perkara yang ditaksir sama ada pengetahuan, kemahiran atau nilai mestilah tepat dan jelas. Pelajar seharusnya boleh memberikan bukti-bukti yang diharapkan sama ada kognitif, psikomotor atau efektif
|
TAJUK |
Tajuk atau konteks yang hendak ditaksir merupakan perkara-perkara biasa yang telah dipelajari pelajar. Ini penting untuk memastikan pelajar yang tidak dapat menjawab adalah kerana tidak menguasai perkara berkenaan, bukan disebabkan oleh perkara tersebut luar biasa baginya
| |
KOMPONEN |
Komponen item-item dari aspek stimulus atau arahan adalah jelas supaya pelajar dapat memberikan respons yang diharapkan. Laras bahasa, ekspresi atau stail ditulis dengan sempurna dan tidak mengelirukan pelajar
| |
KESESUAIAN | ARAS KESUKARAN |
Item-item mestilah menepati aras kesukaran yang hendak ditaksir sama ada RENDAH, SEDERHANA atau TINGGI. Guru yang berpengalaman mampu mengenal pasti aras kesukaran item-item
|
PENTING |
Perkara yang ditaksir mestilah perkara penting dalam pembelajaran. Elakkan mentaksir perkara yang remeh supaya kewibawaan item-item terpelihara
| |
ADIL |
Item-item mestilah adil dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana golongan atau kelompok tertentu sama ada dari segi agama, bangsa, jantina, tempat tinggal dan status ekonomi
|
(Sumber: Bahagian Kurikulum Teknikal dan Vokasional, 2006).
Menurut Bhasah (2003), sebelum guru membina ujian, guru perlu tahu objektif ujian tersebut dibina supaya ujian yang dibina benar-benar dapat mencungkil kemahiran yang diperlukan daripada pelajar. Kenyataan ini disebabkan matlamat utama sesuatu ujian adalah untuk mendapatkan maklumat yang benar tentang pencapaian pelajar dalam satu-satu mata pelajaran selepas sesuatu pengajaran dibuat.
Smith dan Adams (1996) pula telah menggariskan 5 langkah yang harus diikuti untuk membina ujian iaitu:
- Kenal pasti objektif ujian yang hendak dibina
- Konstruk instrumen untuk mengukur pencapaian berpandukan objektif ujian yang ditetapkan oleh guru pembina item-item tersebut
- Mentadbir instrumen yang telah dibina oleh guru kepada pelajar
- Menganalisis data terhadap skor(markah) yang diperolehi oleh pelajar
- Menilai instrumen
Setiap ujian yang dibina menjalani pelbagai peringkat proses pembinaan item-item, mengkaji semula, proses ujian awal (pilot-test) dan pra-ujian bagi memastikan item-item ujian adalah boleh digunakan dan diperbaiki (jika ada keperluan). Akhir sekali, sebelum ujian tersebut boleh dijalankan, item-item ujian biasanya dikaji dan dinilai oleh pakar pembina item-item. Keseluruhan proses kaji-semula ini boleh membantu dalam memastikan mutu dan kualiti item-item ujian itu sah, boleh dipercayai dan adil kepada kumpulan-kumpulan yang menduduki ujian itu (Gay & Airasian, 2003).
Rajah 2.1 menunjukkan carta alir proses pembinaan item-item ujian, pengesahan ujian dilakukan dalam dua peringkat, iaitu; (i) disahkan oleh pakar untuk memastikan ujian yang dibina akur Kurikulum dan mengikut Sukatan Pelajaran; dan (ii) disahkan pelajar melalui analisis kesahan dan kebolehpercayaan hasil dari respon pelajar kepada ujian (Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006).
Rajah 2.1: Carta Alir Proses Pembinaan Item-item Ujian
Penggubalan instrumen pentaksiran memerlukan perancangan yang rapi, teliti dan sistematik agar keputusan yang diperolehi benar-benar tepat bagi membolehkan sebarang tindakan susulan yang bakal dijalankan adalah tepat dan selaras. Penetapan dan penentuan objektif pengajaran yang jelas dalam bilik darjah akan dapat membantu guru dalam menyediakan instrumen penilaian yang berkesan dan sesuai bertepatan dengan objektif penilaian yang ditetapkan. Melalui penyediaan Jadual Penentuan Ujian (JPU) pula dapat memberikan panduan kepada penggubal item-item bagi memastikan instrumen yang digubal itu memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi (Nitko, 2003).
No comments:
Post a Comment