Friday, June 4, 2010

Ibrahim dibakar hidup-hidup


RAJA Namrud mati akal ketika berhujah dengan Nabi Ibrahim berikutan semua pertanyaan yang dikemukakannya kepada Ibrahim dijawab mengikut logik akal.

Bagaimanapun, Namrud yang mengheret Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan menghancurkan berhala yang disembah kaumnya tetap mahu menghukum Ibrahim. Justeru, Namrud memerintahkan tenteranya supaya menangkap Ibrahim untuk dibakar hidup-hidup.

Rakyat dikerah mengumpulkan kayu untuk tujuan pembakaran itu. Ibrahim dicampak ketika api marak di hadapan orang ramai yang menyaksikannya dengan penuh gelisah.


Walaupun berada dalam api yang marak, Ibrahim tidak terbakar, malah dirasakannya bertambah sejuk. Keistimewaan luar biasa itu adalah mukjizat Allah kepadanya.

Sebagaimana firman Allah, bermaksud: "Wahai api, hendaklah kamu dingin dan selamatkan Ibrahim."

Melihat Nabi Ibrahim masih terselamat daripada api yang menjulang tinggi, Raja Namrud semakin benci dan marah sehingga menganggap Ibrahim musuh besar dan dihalau dari Babylon (kini di Iraq).


Tanpa berlengah Ibrahim keluar dari negeri kelahirannya itu dan pergi ke Palestin. Beliau bertindak demikian berikutan sudah lama tinggal di Babylon, sedangkan bilangan orang beriman terlalu sedikit.

Di Palestin, beliau tinggal tidak lama kerana selepas itu beliau yang ditemani isterinya Sarah, berpindah ke Mesir.

Ketika baru tiba di Mesir, Ibrahim menghadapi masalah kerana raja berkenaan mahu mengambil Sarah sebagai isterinya kerana terpesona dengan kecantikannya.

Apabila raja berkenaan mahu menyentuh Sarah, kaki dan tangannya dilumpuhkan Allah. Kemudian raja berkenaan bertaubat, tetapi diulanginya lagi perbuatan itu kali kedua dan ketiga, hingga dibutakan mata dan dilumpuhkan seluruh badan.


Akhirnya, raja itu insaf. Ibrahim dan Sarah kemudian hidup senang dengan nikmat berganda hingga menimbulkan perasaan dengki kalangan penduduk. Ini menyebabkan Ibrahim dan Sarah kembali ke Palestin semula.

Sementara itu, kerajaan Raja Namrud di Babylon menerima balasan dengan seksaan Allah kerana tidak beriman. Semua mereka yang ingkar, termasuk Raja Namrud mati bergelimpangan selepas diserang nyamuk.

Berbalik kepada Ibrahim, ketika di Palestin, beliau berkahwin seorang lagi, iaitu dengan Hajar. Daripada hasil perkongsian hidup dengan Hajar, mereka dikurniakan Ismail. Daripada perkahwinan Ibrahim dengan Sarah, lahir Ishak.

Selepas itu, Ibrahim membawa Ismail dan Hajar ke Makkah. Mereka ditinggalkan di satu kawasan lembah yang tidak berpenghuni, tetapi menjadi laluan pedagang dan perkhemahan kafilah dari Yaman dan Syria.

Ibrahim sedih melihat keadaan itu. Justeru, sebelum meninggalkan dua beranak itu, Ibrahim berkata: "Wahai Hajar, semua ini dilakukan mengikut perintah Yang Maha Berkuasa, perintah-Nya tidak dapat dilawan, bergantunglah pada rahmat Allah dan yakin Dia tidak akan membiarkan kamu."

Selepas itu, Ibrahim berdoa. Mengikut huraian al-Quran, maksudnya: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati.

"Wahai Tuhan kami dengan yang demikian itu supaya mereka (Hajar dan Ismail) mendirikan solat. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka daripada buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur."

Dengan perintah Allah, Ibrahim segera kembali ke Syam (Palestin) untuk hidup bersama Sarah. Tidak lama kemudian makanan dan minuman dua beranak itu (Hajar dan Ismail) habis, malah air susu Hajar kering.

Keadaan di kawasan yang gersang itu cukup menyedihkan. Mereka kehausan sehingga air mata berlinangan. Hajar bangun dan berlari ke Bukit Safa untuk mencari air.

Dari sana dia nampak bayangan air di Bukit Marwah, lalu berlari lagi ke sana. Pandangan itu mengecewakannya, tetapi melihat keadaan Ismail yang kehausan dia terus berlari antara Safa dan Marwah, tujuh kali.

Usaha itu tidak berhasil sehingga dua beranak itu tidak terdaya lagi untuk meratap. Pada ketika itu juga doa Nabi Ibrahim dimakbulkan Allah. Air jernih keluar dari bawah tapak kaki Ismail dan melihat perkara itu Hajar begitu gembira.

Mata air itu bertakung dan hingga sekarang dinamakan air zam-zam, manakala perbuatan Hajar berlari di antara Safa dan Marwah menjadi rukun haji, dinamakan Sa'i.

Beberapa lama selepas peristiwa itu, Ibrahim mengunjungi Hajar dan Ismail di kawasan berkenaan. Beliau terperanjat setibanya di sana apabila mendapati kawasan yang dulunya gersang menjadi subur dan ditakungi air.

Mengikut al-Quran, menjelang hari terakhir riwayat Nabi Ibrahim, Makkah menjadi sebuah kota yang makmur. Ini disebabkan beliau berdoa kepada Allah: "Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman dan jauhkan aku serta anak cucuku daripada menyembah berhala."



Sumber: http://klikkhas.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment