oleh: Daeng Jati
Di Negeri Perak sebelum tahun 1520, ada dua orang Mubaligh Islam adik beradik yang datangnya daripada Mekah. Kedua Mubaligh Islam yang tersebut itu yang tua nya bernama Syed Ali dan yang muda nya bernama Syed Abdul Manaf. Maka kedua Mubaligh yang ulung itu telah mengIslamkan ramai orang-orang Melayu Perak pada ketika itu dan kedua Mubaligh tersebut terkenal dengan nama Keramat Mata Kucing dan Keramat Mata Sabun.
Di Negeri Perak pada masa yang tersebut, Raja nya belum bergelar Sultan, hanya dengan nama HALUAN. Maka Haluan Negeri Perak pada masa itu bernama Tok Masuka dan orang-orang besarnya diantaranya bernama Tun Saban, Nakhoda Kassim, Puteri Darah Putih anak Penghulu Semang, Hulu-Perak. Didalam pemerintahan Haluan Paduka Tok Masuka pada masa itu maka mulalah ramai orang Melayu Perak menukarkan ugama mereka daripada Hindu dan ugama Buddha kepada Ugama Islam. Dengan adanya Ugama Islam yang baru muncul itu maka banyaklah adat-adat istiadat yang terkenal dengan nama Adat Istiadat Gangga Nagara diubah satu demi satu, daripada upacara acara Hindu kepada acara mengikut syariat Islam. Dengan campur tangan kedua Keramat Mubaligh Islam Arab itu berkenaan dengan masyarakat Melayu Perak yang dinamakan Adat Istiadat Melayu Perak. Ini telah secara tidak langsung menjadikan Tun Saban, pembesar Perak ketika itu tidak senang hati.
Pada suatu hari,, Tun Saban telah memberi perintah supaya kedua Keramat Mubaligh Islam itu dibunuh. Seorang puteranya yang bernama Tun Kelewang menyahut perintah tersebut. Maka Tun Kelewang pun mengambil senjatanya dan turun menuju ketempat dua Keramat Islam itu, maka tujuan nya ialah untuk menamatkan riwayat kedua Keramat Mubaligh Islam yang tersebut. Mana-mana rakyat yang tahu akan peristiwa yang bakal berlaku tersebut menunggu-nunggu akan peristiwa ngeri itu berlaku.
Didalam perjalanan Tun Kelewang di tengah jalan, dengan tak semena mena berbunyilah halalintar membelah bumi dengan kuatnya, didalam kilat menyabung itu Tun Kelewang pun terkena petir dan gugurlah kebumi lalu mati lah ia disitu juga. Maka petir itulah senjata yang didatangkan Allah swt bagi membunuh musuh kepada kedua Keramat itu. Dengan kematian Tun Kelewang yang diluar jangkaan dan dugaan, semenjak itu orang-orang Perak baharulah mengatakan dua Mubaligh Islam itu Keramat.
Satelah mati Haluan Tok Paduka Masuka Perak didalam lingkungan tahun 1525, maka kedua Kerabat iitulah yang memberitahu kepada Tun Saban, supaya, iaitu :-
- Nama gelaran HALUAN digantikan dengan nama gelaran SULTAN.
- Kerana Tok Masuka tidak mempunyai zuriat anak lelaki, maka Sultan pertama Negeri Perak hendaklah diambil Raja Muzzaffar Shah, iaitu putera kepada Sultan Mahmud Shah, Kampar (Sumatera), bekas Sultan Melaka yang akhir, ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama dan ulung.
Tun Saban mahu tidak mahu terpaksa menurut kata sebagaimana yang dikehendaki oleh kedua Mubaligh Islamm itu, terpaksalah dilaksanakan juga. Pada tahun berikutnya berlakulah peristiwa Pertabalan Kesultanan Negeri Perak dan nama Haluan Negara (Gangga Negara) ditukarkan kepada nama Negeri Perak. Raja Muzzaffar Shah telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang Pertama dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muzzaffar Shah 1.
Daripada ajaran Islam kedua Mubaligh Islam itu maka ada lima Orang Besar Perak menjadi alim didalam Ilmu Ketuhanan. Maka empat yang menjadi Keramat dan seorang menjadi Rijaibul'Ghaib, maka Orang Besar yang menjadi Keramat itu ialah :-
1. Nakhoda Kassim, yang terkenal dengan nama Keramat Beting Beras Basah.
2. Isteri Nakhoda Kassim yang bernama Puteri Darah Putih anak Penghulu Semang.
3. Anak angkat Nakhoda Kassim yang dikenali dengan nama Tok Pelandok.
4. Isteri Tok Pelandok, anak nagkat Puteri Darah Putih, terkenal dengan nama Keramat Tok Temong.
Tun Sabah yang dahulunya memusuhi kedua Keramat Arab yang tersebut, akhirnya menjadi sahabat karib Keramat Mata Sabun dan Keramat Mata Kucing. Walau bagaimana berlaku perbelahan dan persengkataan dengan Sultan Perak ketika itu dan Tun Saban telah di bunuh oleh Megat Terawis atas perintah Sultan. Namun ada orang yang mengatakan Tun Saban tidak mati malah beliau telah ghaib menjadi Rijaibul'Ghaib.
Bermula daripada tahun era berikutnya Negeri Perak telah di perintah oleh Sultan mengikut salahsilah Undang-Undang 99 Negeri Perak. Sahingga kini Negeri Perak telah diperintah oleh 34 orang Sultan......
Adapun kedua Mubaligh Islam itu satelah Negeri Perak mempunyai Kesultanan mereka pun
Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzaffar supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.
Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera Raja Muzaafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-
Selilit Tanah Minangkabau,
Selengkung Pulau Perca,
Dilengkung ular Saktimuna,
Sebenarnya Aku keturunan Raja,
Jauhkan segala malapetaka,
Perpisahan Aku di Selat Melaka....
Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul 'JIN' yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda....
Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuangku kedalam laut......
Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.
Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.
Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-
a) Tanah Abang - iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati.
b) Di dalam Mukim Bota,
c) Kota Lama Kanan,
d) Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,
e) Semat dalam Mukim Senggang,
f) Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera,
g) Pulau Tiga,
h) Pulau Cempaka Sari atau Pulau Indera Sakti,
i) Pasir Pulai Indera Mulia,
) Bandar Baharu,
k) Pasir Panjang,
l) Durian Sebatang,
m)Sayong,
n) Batak Rabit...
dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28. Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan dalam tahun 1877, bagind atelah membuat istana diatas sebuah bukit berhampiran dengan Batang Hari kerana Sayong selalu sahaja di tenggelami air apabila Sungai Perak bah. Akhirnya bukit tersebut dinamakan Baginda dengan sebutan Bukit Chandan, gelarannya Seri Andalan. Menurut ceritanya nama ini adalah mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu. Setibanya disini baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut datang sembah lalu berkata...
" Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana diatas bukit yangdi pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu...."
Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan 'orang tua' tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya istana rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-
1) Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.
2) Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.
3) Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.
4) Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.
Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah jawatan Bendahara Paduka Raja telah disandang oleh Megat Terawis. Megas Terawis dikatakan berasal dari kerabat di raja Pagar Ruyong (Minangkabau) yang datang ke Perak bersama-sama Sultan Muzzaffar Shah dari Kampar. Sultan Muzzaffar Shah telah melantik beliau sebagai Bendahara bagi mengantikan Tun Muhammad setelah Megat Terawis berjaya menghapuskan Tun Saban yang bersengketa dengan baginda.
Corak pemerintahan tradisional ini walau pun dari kacamata barat dianggap sebagai amalam feudal yang tidak demokrasi tetapi jika diteliti dari segi pentadbirannya jelas menunjukkan bahawa sistem pemerintahan demokrasi telah lama dipraktikkan di Negeri Perak sebelum Inggeris menerjah masuk. Ini dapat dilihat dalam sistem perlantikan Sultan, pembesar negeri dan strultur pemerintahan itu sendiri.
Sejak dari perlantikan tersebut keturunan Megat telah memegang jawatan Bendahara Perak hinggalah akhir kurun ke 18 apabila Bendahara Megat Abu Kassim menyerahkan balik jawatan tersebut kepada Sultan Iskandar Zulkarnain kerana satu perbalahan. Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair "Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya" sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.
Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran - iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung. Saperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.
Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.
Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat di eksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka. Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja
Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka pada20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.
Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung di pertanggung jawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa - Sistem Residen.
Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan di antara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan di patuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.
Orang Besar-Besar Perak dan Sulatn Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.
Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang di syaki telah di bakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah di serang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris saperti yang di lakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.
Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che' Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Mohamad Amin, Syahbandar, Che' Ngah Ibrahim dan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu. Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan di buang negeri di asingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.
Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke 27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan Birch telah diangkat menjadi Raja Muda. Sistem pertadbiran negeri telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang tidak sesuai telah di pencenkan dan yang berkebolihan serta masih taat kepada pemerintah telah dijadikanpegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan.
Pembangunan ekonomi telah di lipatgandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar bary disekitar kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru saperti Taiping dan Ipoh, jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan. Bandar-bandar traditional Melayu telah ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di sekitar kawasan yang baru di bangunkan oleh Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggal lah mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka di kawasan pertanian, di kuala-kuala sungai dan bandar tradisional warisan mereka.
Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-masing.
Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja saperti Sultan Idris, Raja Alang Iskandar (Sultan Iskandar Shah) dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.
Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940an hinggalah Tanah Melayu mengalami bahana Perang Dunia ke2, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Sumber: http://halaqah.net/
No comments:
Post a Comment