Tuesday, June 8, 2010

Perlaksanaan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV)


Pendidikan Vokasional di Malaysia bermatlamat untuk memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bidang sains dan teknologi bagi memperluaskan kebolehan dan kemahiran tinggi mereka dalam bidang ini. Kursus-kursus yang ditawarkan bertujuan untuk membolehkan pelajar yang berpotensi menjadi tenaga kerja separa mahir atau mahir dalam pelbagai bidang teknikal. Melalui cara ini ia dapat membantu negara dalam menghasilkan tenaga kerja berkemahiran, berketrampilan serta mengamalkan nilai-nilai yang positif.

Pendidikan Vokasional di Malaysia bermula pada tahun 1926 melalui sekolah pertukangan dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 1967 hasil daripada idea Penyata Razak 1956 dan Rahman Talib 1960 (Universiti Kebangsaan Malaysia, 2008). Matlamat penubuhannya adalah untuk menyediakan bidang latihan dalam memperkembangkan asas-asas kemahiran vokasional bagi tujuan pekerjaan (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006). Pada tahun 1987, kurikulum vokasional telah dirombak yang bertujuan untuk memperkembangkan kemahiran, etika kerja, sikap percaya diri sendiri dan sikap bertanggungjawab bagi membolehkan mereka (pelajar) menjadi tenaga kerja yang berguna dan proaktif. Seterusnya, rombakan kurikulum kedua berlaku pada tahun 1992, dimana wujudnya dua aliran iaitu aliran vokasional dan kemahiran (Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional, 2008). Rombakan ini bertujuan untuk menyediakan pelajar yang berpengetahuan asas dan kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri dan perdagangan. Pada tahun 2008, satu pelan tindakan dihasilkan untuk memperkasakan pendidikan Teknik dan Vokasional. Langkah ini bertujuan untuk memperluaskan dan menambah baik aliran vokasional serta kemahiran.

Semenjak diperkenalkan kurikulum aliran sekolah vokasional telah mengalami satu perubahan yang besar apabila Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP) telah meluluskan pelaksanaan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) secara modular bagi menggantikan bagi Mata Pelajaran Vokasional secara konvensional (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003). Mata Pelajaran Aliran Vokasional ini dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula dengan mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dan Pengaturcaraan Komputer (ICT) pada tahun 2007 dan diikuti dengan kesemua 36 mata pelajaran vokasional yang lain. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat (CCC) Bil. 1/2003 telah meluluskan pelaksanaan 36 Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) sebagai mata pelajaran elektif peringkat SPM secara modular (Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional, 2008). Pelaksanaan Kurikulum baru ini melibatkan perubahan pakej mata pelajaran daripada tiga kepada dua mata pelajaran sahaja yang melibatkan 21 kursus yang terdiri daripada 36 mata pelajaran. Sebelum ini, satu kursus menawarkan 3 mata pelajaran. Contohnya, sebelum pelaksanaan sistem modular kursus Elektrik dan Elektronik mempunyai 3 mata pelajaran iaitu Teori Elektrik dan Elektronik, Amali Elektrik dan Elektronik dan Lukisan Geometri. Melalui kurikulum baru, ketiga-tiga mata pelajaran tersebut telah diintegrasikan ke dalam dua mata pelajaran iaitu: (i) Prinsip Elektrik dan Elektronik; dan (ii) Aplikasi Elektrik dan Elektronik.

Mata Pelajaran Aliran Vokasional diperkenalkan adalah bagi menyediakan kumpulan mahir dan separa mahir dalam bidang teknikal dan vokasional dalam era k-ekonomi menjelang tahun 2020 (Ahmad Tajudin, 2007). Beberapa kursus baru telah diperkenalkan dalam pelaksanaan aliran vokasional baru ini. Teras pelaksanaan aliran vokasional baru ialah pengajaran dan pembelajaran secara modular. Menurut Ahmad Tajudin (2007), pembelajaran secara modular adalah pembelajaran berpusatkan pelajar dan memberikan lebih fleksibiliti kepada pelajar. Guru berperanan sebagai sumber atau fasilitator untuk membimbing pembelajaran pelajar secara individu.

Menurut Ahmad Tajudin (2007), isi kandungan mata pelajaran dibahagikan kepada beberapa unit kecil dalam bentuk modul pembelajaran kendiri (self-learning module). Kebanyakkan modul adalah bersifat 'stand alone', iaitu jika pelajar gagal atau belum mencapai tahap penguasaan yang diperlukan bagi setiap modul tersebut, pelajar masih boleh meneruskan modul yang lain. Namun begitu, terdapat juga beberapa modul yang bersifat 'pre-requisite', dimana guru perlu mengambil kira tentang keperluan kemahiran dan pengetahuan asas pelajar sebelum meneruskan modul seterusnya. Menurut Bhasah (2003), guru perlu mengambil kira tentang kepentingan kemahiran sebagai 'pre-requisite' untuk matlamat selanjutnya.

Sistem modular yang diperkenalkan dalam Mata Pelajaran Aliran Vokasional adalah sistem pembelajaran berpusatkan pelajar dan memberikan lebih fleksibiliti kepada pelajar. Pelajar boleh memilih mana-mana modul yang ingin dipelajari tanpa perlu mengikut urutan seperti yang diamalkan dalam kaedah konvensional. Sementara itu, guru berperanan sebagai fasilitator untuk membimbing pembelajaran pelajar secara individu.

Secara teknikalnya, sistem kompetensi modular ini menggalakkan sikap saling membantu dalam kalangan pelajar. Pelajar yang cerdas akan membantu rakannya yang lain untuk menguasai sesuatu kemahiran. Guru pula dapat memberi lebih pemerhatian kepada pelajar lemah tanpa menjejaskan keupayaan pelajar cerdas. Sijil modular yang diberikan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia dapat membantu pihak industri dan bakal majikan mengenal pasti pekerja yang berketrampilan.

Salah satu daripada mata pelajaran elektif vokasional yang ditawarkan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Vokasional ialah mata pelajaran Prinsip Elektrik dan Elektronik. Matlamat mata pelajaran Prinsip Elektrik dan Elektronik adalah untuk melahirkan pelajar yang berkemahiran dan berpengetahuan asas dalam bidang elektrik dan elektronik bagi meneruskan pengajian dan juga untuk bekerja dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Melalui penguasaan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang elektrik dan elektronik dan pemantapan sikap dan nilai kerja yang tinggi, pelajar akan berkemampuan untuk lebih berjaya dalam kerjaya bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003).

Pembelajaran mata pelajaran ini menekankan kepada kerja amali, eksperimen dan projek yang memberi kemahiran dan disokong oleh pembelajaran teori dan konsep untuk memperkukuhkan kefahaman dan kemahiran yang dipelajari. Penekanan juga diberikan kepada penghayatan nilai-nilai murni melalui tabiat kerja yang selamat, pematuhan kepada peraturan dan amalan industri. Gabungan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi dalam mata pelajaran ini dapat membekalkan pelajar dengan 'entry-level skills' bagi menceburi dalam bidang pekerjaan dan pengajian lanjutan dalam bidang elektrik dan elektronik.

Disamping itu, pembelajaran mata pelajaran ini juga dapat meningkatkan daya intelek dan berkemampuan membuat keputusan sendiri, memperkembangkan pengetahuan teknologi semasa dan penyesuaikan diri untuk berfungsi secara berkesan dalam bidang elektrik dan elektronik (Jabatan Pendidikan Teknikal KPM, 2003). Justeru, mata pelajaran Prinsip Elektrik dan Elektronik ini akan dapat membantu ke arah melahirkan seorang insan yang seimbang dan seterusnya melahirkan masyarakat yang selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Melalui pelaksanaan MPAV ini, sistem penilaian sekolah vokasional telah mengalami perubahan yang amat ketara, bukan sahaja dari segi bentuk dan strukturnya tetapi juga dari falsafah kandungannya. Selaras dengan hasrat Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), sistem penilaian pada peringkat SPM diwujudkan dalam dua bentuk iaitu Penilaian Berpusat dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS). Penilaian berpusat adalah dimana pelajar dikehendaki menduduki peperiksaan bertulis SPM apabila tamat pengajian tingkatan lima, manakala dalam Penilaian Berasaskan Sekolah pula pelajar dinilai setiap elemen prestasi yang telah dikenali pasti disepanjang proses pembelajaran mereka di sekolah.

Proses penilaian dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia Kementerian Pelajaran dengan menggunakan kaedah gabungan kompetensi modular dan peperiksaan berpusat. Peperiksaan bertulis berpusat ditadbirkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia pada bulan November sesi persekolahan Tingkatan 5. Manakala kompetensi modular dijalankan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran Tingkatan 4 hingga 5 yang dikendalikan oleh guru mata pelajaran (guru pentaksir). Sebelum kurikulum baru MPAV dilaksanakan, penilaian prestasi pelajar yang diamalkan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui sistem peperiksaan berpusat (Jabatan Pendidikan Teknikal, 2003). Dengan sistem baru ini pelajar dapat diuji tahap pencapaiannya dalam menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu mata pelajaran. Pencapaian pelajar tersebut akan dilaporkan secara keseluruhan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Modular.

Melalui sistem kompetensi modular, penilaian dilakukan dengan mentaksir bukti-bukti yang diperolehi daripada pelajar terhadap setiap modul. Bukti-bukti yang diperolehi adalah bermaksud sebarang bentuk respon dari pelajar yang bersifat penulisan, lisan, projek dan apa sahaja yang boleh menjadi bukti. Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (2003), kompetensi adalah satu unit tugasan (task) yang mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam menggunakan alat, bahan dan kaedah menyempurnakan tugasan yang diberi oleh guru pentaksir. Kompetensi mestilah bersifat boleh diperhatikan dan boleh diukur. Di peringkat sekolah, guru pentaksir (guru yang mengajar mata pelajaran tersebut) yang bertanggungjawab membina alat pentaksiran (item).

Peperiksaan dan ujian merupakan ukuran yang digunakan bagi menentukan sama ada seseorang pelajar mampu menguasai sesuatu mata pelajaran atau tidak. Najib (1997) menyatakan fungsi-fungsi penilaian tersebut yang amat penting dalam menentukan kemahiran kemasukan dan menempatkan mereka dalam kumpulan yang sesuai, menentukan kemajuan pembelajaran dan pengajaran yang dicapai dan merawat masalah pembelajaran yang wujud.

Menurut Guskey (2001), kepentingan ujian sebagai alat untuk membantu mempertingkatkan keberkesanan pengajaran kurang diberi perhatian oleh kebanyakkan ahli pendidik. Dalam kajian Henson dan Denton (1980), guru di sesetengah negeri di Amerika mengajar untuk menghadapi peperiksaan bertulis, dengan menekan pelajar mengingati pelajaran untuk lulus di dalam peperiksaan. Namun begitu pelajar yang hanya mengingati pengetahuan atau kemahiran, sebenarnya tidak menggambarkan potensi sebenar pelajar tersebut.

Keadaan ini wujud sekiranya item-item yang disediakan tidak mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Oleh itu adalah perlu bagi setiap guru untuk menentukan objektif pentaksiran sebelum item-item tersebut ditadbirkan. Mengikut Gronlund (1993) seseorang guru yang menyediakan ujian perlu terlebih dahulu menentukan tujuan ujian diadakan.Penilaian yang tepat memerlukan kaedah pengukuran yang berkesan. Justeru, ujian yang dibina perlu mempunyai ciri-ciri psikometrik yang ditetapkan yang menunjukkan item-item yang digunakan itu benar-benar berkualiti.

Persoalan yang timbul ialah apakah item-item yang dibina oleh guru mempunyai kualiti yang tinggi dari segi kesahan dan kebolehpercayaannya. Ini adalah kerana ada dalam kalangan guru membina item peperiksaan di peringkat sekolah dengan meniru bulat-bulat dari item-item tahun-tahun lepas yang telah dibina oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia juga menimbulkan tanda tanya sama ada item-item yang dibina sendiri oleh guru mampu membantu pelajar dalam proses pembelajaran mereka di sekolah. Thorndike (1972), menyatakan ujian yang sering digunakan gagal memberi maklumat yang membantu guru bagi mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran.

9 comments:

  1. cam ne nk dapatkan maklumat berkaitan di atas?seperti ada buku panduan dia ke?pentaksiran dia ke?
    syaorion@yahoo.com.my

    ReplyDelete
  2. Tuan boleh rujuk kepada jurnal, risalah atau makalah terbitan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasionl, KPM... Untuk tujuan pentaksiran tuan boleh pergi ke sekolah vokasional seluruh malaysia.. untuk tujuan itu tuan boleh berhubung dengan guru kanan vokasional sekolah tersebut... TQ

    ReplyDelete
  3. boleh bagi link atau nama rujukan tersebut?

    ReplyDelete
  4. artikel ni saya buat semasa saya buat tesis... untuk master saya di USM dahaulu... ini adalah sebahagian daripada pengenalan BAB 1...

    ReplyDelete
  5. salam,en,boleh x sy nk baca en punya tesis,menarik la pasal MPAV ni..huhu....sy nk adikan panduan la en,huhu

    ReplyDelete
  6. ade x soalan2 utk applied science form 4 and 5

    ReplyDelete
  7. mohon gunakan artikel sebagai bahan assignment saya. terima kasih. may Allah bless u.

    ReplyDelete
  8. Assalam... boleh saya tahu sumber asal kenyataan dari Ahmad Tajudin (2007)...

    ReplyDelete