Saturday, June 19, 2010

Sperma cacat


Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my


Faktor tekanan antara punca benih lelaki tidak normal, berkurangan. KEBANYAKAN lelaki yang sihat secara automatik akan menganggap sistem reproduktif mereka tidak bermasalah.

Soalnya, sejauh mana kesedaran mengenai kesuburan itu khususnya berkaitan kesihatan benih atau sperma kerana gejala kemandulan lelaki sukar dikesan

Di Malaysia, kes kemandulan lelaki atau sperma tidak normal, amat jarang dilaporkan kerana tidak banyak data atau kajian mengenai ketidaksuburan lelaki direkodkan. Namun apa yang memeranjatkan, kebanyakan kes atau kebanyakan kes yang dirujuk di pusat perubatan kesuburan membabitkan ketidaksuburan lelaki.

Malah dalam kebanyakan kes, setiap kali keguguran berlaku wanita biasa dipersalahkan. Jika telur normal tetapi sperma pula tidak, 'kecacatan' sperma inilah yang boleh mengakibatkan keguguran. Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Zamri Abdul Rahim, berkata kebanyakan lelaki di Malaysia sedar mengenai masalah ketidaksuburan, tetapi tidak mahu memandang serius mengenainya

Akibatnya, si isteri yang datang bertemu doktor terlebih dulu untuk membuat pemeriksaan sebelum menerima berita yang lebih mengejutkan yang kadangkala tidak dapat diterima suami.

Sperma yang normal bukan saja tinggi dari segi bilangan tetapi juga memiliki bentuk yang sempurna dan pergerakan yang aktif. Pakar akan mencari sperma yang mempunyai kepala bujur dan ekor yang panjang. Ini adalah bentuk sperma yang boleh dianggap normal

Sebagai contoh selepas satu jam, berapa peratusan sperma yang bergerak? Selepas tiga jam apa berlaku dan adakah sampel itu dijangkiti virus adalah beberapa perkara yang diambil kira," katanya

Dr Zambri berkata, bilangan sperma yang normal biasanya mencecah sehingga 40 juta dan ada juga 20 juta bergantung kepada pusat perubatan kesuburan Apapun, bagi membolehkan wanita hamil, kita hanya perlukan satu sperma yang sihat saja.

Kita perlu lihat pada peratusan sperma yang normal, jika seorang itu punya bilangan sperma rendah tetapi 80 hingga 90 peratus adalah aktif, itu lebih baik daripada seseorang yang punyai bilangan sperma yang tinggi tetapi lebih 50 peratus bentuknya tidak normal," katanya.

Langkah seterusnya ialah melihat pergerakan sperma. Ada sperma yang mempunyai pergerakan normal iaitu lebih 60 peratus yang bergerak dan ada juga yang tidak bergerak langsung dipanggil sperma mati

Beliau berkata, langkah selanjutnya ialah memahami bentuk sperma itu sendiri. Sperma yang normal bentuknya perlu ada kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi jika tidak normal, sperma ini akan datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang dua, ekor pendek, ekor terbelit, ekor bergulung dan pelbagai bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai kepada telur bagi proses persenyawaan

Penyebab utama dan paling biasa menyumbang kepada sperma yang tidak normal adalah tekanan. Ia agak subjektif untuk dibincangkan namun ada yang mengatakan bila kita dilanda tekanan bilangan sperma akan berkurangan," katanya.

Seseorang itu dikatakan mempunyai bilangan sperma yang rendah apabila setiap 1 mililiter pancutan sperma hanya menghasilkan kurang daripada 20 juta spermatozoa. Kajian mendapati lelaki yang dilahirkan sekitar 1960-an mempunyai jumlah sperma yang lebih tinggi berbanding lelaki yang dilahirkan pada 1970-an.

Menurut Dr Zambri, banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, merokok, urat darah varicocele dalam scrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alkohol, obesiti dan testis yang tidak normal

Langkah pertama untuk mengetahui sekiranya anda mempunyai isu berkaitan morfologi sperma ialah lakukan analisis sperma. Sekiranya anda ada masalah morfologi sperma tidak normal pakar akan menyarankan supaya anda melakukan analisis itu pada bulan berikutnya bagi memastikan sebarang perubahan dan menentukan sama ada sperma tidak normal itu bersifat sementara atau kekal," katanya

Beliau bagaimanapun mengingatkan, seseorang itu tidak perlu bimbang jika analisis menunjukkan kewujudan morfologi sperma yang tidak normal, sebaliknya membiarkan pakar melakukan ujian sepenuhnya

Antara rawatan bagi masalah ini termasuk intra uterine insemination (IUI) atau in-vitro insemination (IVF) atau permanian berhadas atau Suntikan Sperma Intra Cytoplasmic (ICSI)

INFO: Cara tingkatkan sperma
  1. Amalkan gaya hidup dan diet seimbang (sayur-sayuran dan gandum)
  2. Bersenam
  3. Kurangkan tekanan
  4. Jaga berat badan
  5. Berhenti merokok
  6. Kurangkan atau menghentikan pengambilan alcohol
  7. Jauhi najis dadah
  8. Jarakkan kekerapan ejakulasi (selang tiga hari)
  9. Elak memakai seluar dalam yang ketat, sauna, mandi tab panas dan apa saja yang boleh meningkatkan suhu buah zakar
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment