Tuesday, June 8, 2010

Sejarah Dan Konsep Asas IQ


Ujian IQ merupakan salah satu cabang daripada bidang psikologi atau ilmu jiwa yang amat popular suatu ketika dahulu di Barat mahupun di Timur. Singkatan IQ berasal dari dua perkataan Inggeris; Intelligence Quotient. Kalau diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, maksudnya ialah Indeks (hasil pembahagian dua nombor) kecerdasan. Indeks nombor yang diperolehi seseorang dalam ujian IQ digunakan untuk mengenal pasti keupayaan mentalnya; iaitu sama ada seseorang itu dalam kategori genius, normal atau lembap.

Sejarah ujian IQ ini bermula pada akhir abad ke-19 dan mereka yang membuat kajian ini majarotinya adalah pakar kaji jiwa. Menurut tafsiran kamus Lexicon Webster Dictionary, kecerdasan ialah keupayaan memahami menaakul fakta-fakta, kebenaran atau masalah. Biasanya, mereka yang cerdas adalah golongan yang lebih berstatus dalam masyarakat, memegang Jawatan yang lebih memerlukan fakulti mental dan mudah menyesuaikan diri dalam apa jua situasi.

Ujian keupayaan mental teoritikal yang pertama telah diperkenalkan oleh seorang saintis dari Britain yang bernama Sir Francis Galton pada tahun 1884. Walau bagaimanapun ujian keupayaan mental praktikal yang pertama telah disediakan oleh dua pakar psikologi Perancis, iaitu Alfred Binet dan Theodore Simon pada tahun 1905. Prinsip asal ujian mereka ialah mengenal pasti keupayaan mental pelajar-pelajar sekolah rendah sahaja. Eksperimen pertama mereka itu mengandungi 30 soalan, iaitu ujian lisan, matematik peringatan. Pada tahun 1910, Lewis Medison Terman, seorang ahli psikologi Amerika Syarikat yang mahsyur telah membuat eksperimen terperinci terhadap ujian yang dipelopori oleh Alfred Binet dan Theodore Simon. Terman telah berjaya menghasilkan Ulangkaji Stanford daripada buku skala Binet dalam tahun 1916. Skala Binet bertujuan bagi mengenal pasti keupayaan pelajar-pelajar dalam bidang linguistic di sekolah-sekolah Perancis.

Versi baru Terman kemudiannya dikenali sebagai Ujian Skala Kecerdasan Stanford-Binet. Perbezaan asa ujian Terman dengan ujian Alfred Binet dan Theodore Simon ialah ujian Terman digunakan untuk menguji kepintaran pelajar-pelajar normal dan pelajar-pelajar pintar, manakala ujian kedua-dua ahli psikologi Perancis tersebut digunakan untuk menguji pelajar-pelajar yang lembap.

Ujian yang diperkenalkan oleh Terman menumpukan kepada dua perkara yang penting, iaitu Usia Mental, M.A (Mental Age) dan Usia Kronologikal, C.A (Chronological Age). Formula yang digunakan untuk mengenal pasti IQ seseorang dengan menggunakan Skala Kecerdasan Stanford-Binet ialah seperti berikut;

IQ = (M.A. /C.A.) x 100

No comments:

Post a Comment