Wednesday, June 30, 2010

Dr. Burhanuddin Al-Helmy


Dr. Burhanuddin dilahirkan pada 29hb November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Taiping, Perak. Ayahnya berasal dari Minangkabau, Indonesia. Kehadirannya di bumi bertuah ini memberi sumbangan bermakna kepada politik Malaysia justeru beliau terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut kemerdekaan sejak sebelum pendudukan Jepun.

Dalam bidang perubatan homeopati, beliau merupakan lulusan Medical Doctor of Homoeopathy (M.D.H) dari Ismeliah Medical College, Hydrabad, India. Selain itu, beliau juga menerima ijazah Doctor of Naturopathy (N.D) daripada School of Naturopathy, London dan Doctor of Divinity daripada International Academy Canada. Beliau juga merupakan ahli International Federation of Naturopath (I.F.N) dan Homoeopathic Physician Association (H.P.A., London).

Di kalangan masyarakat homeopati di Malaysia beliau dikenali sebagai orang Melayu pertama yang belajar homoeopati dan bertanggungjawab memperkembangkannya pada dekad-dekad awal. Meskipun beliau dikatakan telah mempraktikkan ilmu perubatan homoeopati sejak tahun 1930an lagi, namun beliau terlalu sibuk dengan agenda politik semasa. Kerana itulah, hanya pada tahun 1953 atau 1954 baru beliau beroleh kesempatan mendidik pelajar perintis homoeopati.

Selepas merdeka pada tahun 1957, beliau melangkah ke hadapan dalam kerjaya politik apabila memenangi kerusi parlimen bagi tahun 1959-1964. Di waktu itu beliau mengusaha penubuhan persatuan homeopati yang pertama di Malaysia. Persatuan homeopati itu didaftarkan pada 1962 dan dikenali sebagai Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysian Homoeopathic Medical Association) atau PPHM. Pada masa yang sama beliau dilantik sebagai presiden persatuan yang pertama.

Selain bijak dan petah berucap, Dr. Burhanuddin juga mahir menulis. Beliau banyak menyumbangkan hasil tulisan baik dalam bidang politik maupun homoeopati. Banyak artikel yang ditinggalkan beliau. Sebahagian daripada tulisan itu telah diterbitkan, khususnya mengenai politik. Buku-buku homeopati beliau telah disalin dan diperturunkan kepada kerabat homeopati dari generasi pertama, tetapi malangnya tiada satupun diterbitkan. Sedangkan karyanya mengenai falsafah homeopati, materia medika dan biokimia merupakan rujukan utama dalam bahasa ibunda bagi para pelajar homeopati di Malaysia untuk dua dekad yang pertama.

Sumber: http://www.homeolibrary.com/

Burhanuddin al-Helmy bin Hj.Mohammad Nor dilahirkan pada 29 November 1911 di kampung Changkat Tualang, mukim Kota Bharu, Taiping, Perak.  Beliau merupakan anak sulung daripada enam orang adik beradik kepada pasangan berketurunan darah campur Minangkabau-Arab. Bapanya, Haji Mohammad Nor adalah perantau dari Batu Sangkar, daerah Tanah Datar, Minangkabau, Sumatera.

Pada tahun 1908, Haji Mohammad Nor datang ke Tanah Melayu selepas pulang dari Mekah setelah berada di sana beberapa tahun untuk mempelajari selok belok pengajian agama disamping menunaikan fardhu haji. Selain ingin menunaikan fardhu haji dan mempelajari hal-ehwal agama di Mekah, sebenarnnya pemergian Haji Mohammad Nor ke Mekah bertujuan untuk mengelak daripada tekanan pihak penjajah Belanda yang mengenakan cukai kepala dan mewujudkan buruh paksa  yang terdiri daripada para pemuda tempatan.

Lantaran itu, sekembalinya dari Mekah dalam usia 18 tahun, beliau terus menuju dan menetap di Changkat Tualang, Perak.  Ibu Burhanuddin pula berketurunan Arab yang berhijrah ke Perak dari Melaka kerana mencari rezeki lebih bersama keluarga. Akhirnya Sharifah Zahrah binti Habib Osman bertemu jodoh dengan Haji Mohammad Nor di Changkat Tualang dan perkahwinan mereka direstui oleh ibubapa kedua belah pihak.

Di peringkat awal, Burhanuddin mendapat pendidikan di beberapa buah sekolah Melayu yang terletak di Behrang Ulu, Bakap, Kota Bharu, di Perak.  Beliau mendapat pendidikan agama daripada bapanya sendiri yang pernah menetap dan berguru di Mekah suatu ketika dulu. Burhanuddin meminati bahasa-bahasa lain dan pernah mempelajari bahasa Cina daripada anak seorang pekedai Cina di kampungnya dan juga bahasa Tamil daripada seorang penoreh getah di kebun getah bapanya pada masa lapang. Ketekunan beliau akhirnya membolehkan dia membaca dan bertutur dengan bahasa-bahasa tersebut untuk perbualan harian.

Tokoh ini amat gemar membaca dan pernah membaca kitab-kitab ayahnya meskipun pada masa itu beliau masih belum dapat memahami dengan baik isikandungannya. Ketika membaca, tumpuannya begitu khusyuk sekali. Dia juga merupakan seorang anak yang memiliki sifat ingin tahu yang tinggi terutama sekali dalam soal ketuhanan dan ayahnya lah menjadi sasaran utama untuk beliau bertanya berkaitan dengan soal ketuhanan.

Semasa menduduki darjah lima, minatnya dalam bidang penulisan karangan mulai menyerlah. Dalam merealisasikan minatnya, beliau berusaha membuat sebuah majallah dengan menggunakan buku tulis sekolah. Tulisan jawi yang digunakan sebagai tulisan rasmi di sekolah-sekolah Melayu pada masa itu dapat dikuasainya dengan begitu amat baik sekali.

Semasa dalam usia remaja, Burhanuddin pernah dihantar oleh bapanya untuk belajar pondok di kampung asal bapanya, Sungai Jambu selama 6 bulan. Kemudian dia berpindah ke Pondok Pulau Pisang di Jitra, Kedah untuk belajar dan hanya kekal disana selama 2 bulan sahaja. Sebenarnya pusat pengajian  pondok yang mengamal system menadah dan menghafal kitab tidak digemari oleh Burhanuddin kerana baginya sistem ini tidak banyak membuka peluang untuk murid dan guru bersoal jawab. Lalu ayahnya mengizinkan beliau belajar di Madrasah al-Mahsyor Pulau Pinang (1927-1933). Madrasah ini dikendali oleh Kaum Muda. Lantaran kecemerlangan pelajarannya, Burhanuddin terpilih sebagai salah seorang yang layak menerima biasiswa kumpulan saudagar India Islam di Pulau Pinang untuk belayar ke India pada tahun 1934.

Di India, beliau mendalami ilmu falsafah di University Alirgah, New Delhi dan mendapat ijazah pertama dalam bidang falsafah dan sastera di Universiti Aligarh. Selain itu, beliau juga terdedah kepada ajaran tasawwuf Naqsyabandiah dan ideologi politik Mahatma Gandhi. Pada tahun 1936 semasa kembali ke tanahair, beliau menuju ke Singapura dan bertemu Dr.Rajah untuk mendalami bidang homeopati. Semasa berada di luar negara khususnya di Timur tengah, Burhanuddin berusaha memahami perjuangan Kaum Muda yang mula menular di Tanah Melayu sekitar awal abad ke-20.

Sebagai seorang yang berfahaman Kaum Muda di peringkat antarabangsa yang berpelajaran tinggi tentulah agak sukar bagi beliau menyesuaikan diri dengan amalan-amalan agama Islam di kampung-kampung yang pada keseluruhannya bersifat lama secara turun temurun. Pemahaman tentang al-Quran dan hadis juga tidak dilakukan dengan betul. Beliau pernah menegur bilal masjid, Haji Haron (bapa saudaranya) yang masih bercakap menegur orang ramai supaya diam sedangkan imam telah naik ke atas mimbar. Sepatutnya bilal juga kena turut diam seperti orang lain juga. Teguran itu memalukan Haji Haron.

Ekoran ini, satu perjumpaan diadakan bagi menjernihkan kekeruhan dan mencari penyelesaian. Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Burhanuddin mencabar  berkali-kali Haji Harun untuk mengemukakan kitab-kitab yang dikatakan mengandungi dalil-dalil yang menyokong tindakan Haji Harun. Mulai detik itu, beliau mula dipandang serong oleh sebahagian penduduk yang sudah biasa dengan pegangan Kaum Tua. Hal ini diketahui oleh Mufti Perak, Haji Mohd.Zain yang kemudiannya memanggil Burhanuddin ke Kuala Kangsar dan menasihatinya agar keluar dari kampungnya demi mengelak perbalahan terus berterusan. Hal ini juga sampai ke pengetahuan Sultan Perak, Sultan Iskandar yang juga tidak bersetuju dengan pegangan Kaum Muda.

Akhirnya Burhanuddin membawa diri ke Singapura yang mengamalkan dasar terbuka. Lantaran dasar itu, Singapura merupakan syurga kepada golongan cerdik pandai Melayu yang berkumpul dan menerbitkan majallah serta akhbar-akhbar dalam pelbagai bahasa. Disebabkan mampu berbahasa Arab, Burhanuddin diterima mengajar bahasa tersebut di Madrasah al-Junid. Di Singapura juga beliau berusaha menerbitkan sebuah majallah bertajuk Taman Bahagia. Namun selepas satu jam diterbitkan, beliau ditangkap oleh pihak British kerana menganggap isikandungan majallah itu tentang masalah rakyat Palestin yang dicabut hak mereka oleh British dan Yahudi sebagai satu dakyah untuk memburukkan pihak British. Beliau didenda sebanyak $1,000. Burhanuddin diikat jamin oleh salah seorang ahli keluarga al-Sagof setelah didesak oleh seorang pemimpin pembebasan Palestin yang datang ke Singapura.  Dengan ikat jamin tersebut, beliau hanya dilokap selama satu malam sahaja.

Selepas dibebaskan, kehidupan beliau sebagai guru bahasa Arab di Madrasah al-Junid diteruskan kembali disamping membuka klinik homeopati bersama Dr.Rajah. Semangat kental beliau untuk membela nasib orang-orang Melayu muslimin mendorong beliau terbabit dalam beberapa organisasi politik. Antaranya ialah Kesatuan Melayu Muda atau KMM (pada zaman penduduk Jepun). Pada 10hb.Oktober 1969, reformis muslim ini kembali ke rahmatullah lantaran penyakit yang dideritainya semenjak berada dalam tahanan ISA.

Sumber: http://towardsmardhatillah.wordpress.com/

1 comment:

  1. Salah seorang tokoh melayu yang berani menentang penjajah... berjuang hingga nafas terakhir..

    ReplyDelete

Google+ Followers