Saturday, June 5, 2010

KEMUNCULAN PUSAT-PUSAT TAMADUN MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM


Pengenalan

Kemunculan pusat-pusat Tamadun Melayu pada masa ini kebanyakannya berasaskan dua ciri yang utama iaitu agraria dan maritime. Antara kerajaan-kerajaan Melayu tersebut ialah Sriwijaya, Funan, Angkor, Lembah Bujang dan Majapahit. Pembinaan negara-negara kota tersebut merupakan asas pembentukan Tamadun Melayu yang kemudiannya. 

Sriwijaya (650 - 1200 T.M)

Sriwijaya merupakan pusat kebudayaan Melayu yang tertua. Pusat pemerintahannya terletak di tepi Sungai Musi (Kota Palembang sekarang). Empayarnya merangkumi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Sri Lanka dan Tanah Segenting Kra. Sumbangannya yang terpenting dapat dilihat melalui 2 aspek, iaitu intelektualan Melayu dan perkembangan Bahasa Melayu

Dari dimensi (i), Sriwijaya telah memainkan peranan sebagai pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang terpenting di Kepulauan Melayu. Menurut catatan seorang pengembara dari China, I-Tsing, Sriwijaya pada abad ke-7 giat menjalankan kerja-kerja akademik seperti menterjemahkan bahan-bahan berbahasa Sanskrit ke dalam Bahasa Cina dan juga bahasa-bahasa tempatan yang lain.

Selain daripada menjalankan kerja-kerja penterjemahan, Sriwijaya juga merupakan pusat pembelajaran tata bahasa Sanskrit yang terpenting di Alam Melayu ketika itu. Pada tahun 711, Sriwijaya muncul sebagai pusat pembelajaran agama Buddha. Terdapat lebih seribu pendita Buddha di ibu negerinya. Karya-karya agama dan pelbagai aliran kepercayaan Buddha, falsafah, logika, tatabahasa, kesusasteraan Sanskrit Klasik dan sebagainya berkembang dengan giatnya. Perkembangan Sriwijaya melalui dimensi tersebut mencerminkan tahap pemikiran, keintelektualan dan ketamadunan yang tinggi bagi Tamadun Melayu.

Melalui dimensi (ii) pula, zaman Sriwijaya merupakan penyingkapan kegemilangan Bahasa Melayu memandangkan Sriwijaya telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan perantaraan. Memandangkan Sriwijaya menjadi pusat kegiatan ekonomi, sudah pasti ia menjadi tumpuan bagi segala bangsa menjalankan aktiviti perdagangan. Oleh itu untuk tujuan berkomunikasi, pedagang-pedagang asing terpaksa menggunakan bahasa tempatan iaitu Bahasa Melayu Kuno. Dengan secara tidak langsung, Bahasa Melayu telah berkembang dengan pesatnya.

Penemuan 4 batu bersurat pula membuktikan Sriwijaya telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran iaitu;

  1. Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M)
  2. Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M)
  3. Batu Bersurat Kota Kapor (686 M)
  4. Batu Bersurat Karang Brahi (690 M)
Kesimpulannya, Kerajaan Sriwijaya telah memberikan sumbangan yang besar kepada Tamadun Melayu khususnya kepada perkembangan intelektual bangsa Melayu serta perkembangan Bahasa Melayu.

Kemunculan pusat-pusat tamadun Melayu selepas kedatangan Islam

Terdapat sarjana yang melihat teori kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui 3 peringkat utama iaitu;

  1. melalui kedatangan pedagang melalui India
  2. melalui kedatangan pedagang melalui China
  3. Islam datang secara langsung dari Semenanjung Tanah Arab 
Namun ketetapan telah dibuat iaitu Islam telah datang ke Alam Melayu sejak zaman Khalifah Ar-rasyidin lagi tetapi melalui perantara. Perantara yang dimaksudkan ialah pedagang-pedagang dari China dan India yang datang berdagang ke Alam Melayu.

Penyebaran Islam di alam Melayu

Apabila membincangkan penyebaran Islam di Alam Melayu, ianya tidak dapat lari daripada membincangkan 2 faktor
penting yang membawa kepada perkembangan Islam di Alam Melayu iaitu;

1. Peranan golongan-golongan penyebar Islam yang terdiri daripada;
  • golongan bangsawan
  • peranan kerajaan-kerajaan Islam
  • golongan mubaligh
  • ulama dan ahli sufi

  • pedagang asing
2.Ciri-ciri istimewa yang ada dalam agama Islam itu sendiri seperti;
  • Islam tidak memaksa masyarakat Alam Melayu supaya menerima ajarannya, sebaliknya menyerahkan kepada setiap individu sama ada mahu menerimanya atau tidak
  • agama baru ini boleh mengasimilasikan ajarannya dengan budaya masyarakat Melayu yang telah sebati dalam diri mereka
  • Islam merupakan agama yang sederhana dan sifatnya ini telah mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu.
   Pusat-pusat tamadun Islam di Asia Tenggara

  1. Kerajaan Perlak dan Samudera Pasai
  2. Melaka dan Aceh
  3. Brunei, Sulu, Mindanao dan Pattani
  4. Kerajaan Islam lain: Demak, Pajam dan Mataram di Jawa, Banjar di Borneo dan Campa di Indo China 
Pasai (1250-1524 M)

Kerajaan Pasai lebih dikenali sebagai Kerajaan Melayu pertama yang memeluk agama Islam berikutan dengan peristiwa pemelukan Islam oleh pemerintahnya Merah Silu (Sultan Malik al-Salih). Pasai merupakan zaman kegemilangan Kesusasteraan Melayu memandangkan sistem tulisan BM (tulisan Jawi) telah bertindak sebagai medium penyebaran agama dan kesusasteraan Melayu-Islam ketika itu. Ketinggian daya penciptaan yang mencerminkan ketinggian pemikiran bangsa Melayu dapat dikesan melalui penghasilan pelbagai hasil kesusasteraan agama seperti;

  1. Hikayat Nur Muhammad
  2. Hikayat Bulan Berbelah
  3. Hikayat Nabi Bercukur
  4. Hikayat Nabi Wafat dan sebagainya. 
Hikayat Raja Pasai (HRP) pula merupakan hasil kesusasteraan sejarah yang menjadi sumber pemikiran Tamadun Melayu melalui bebarapa dimensi (Sistem Kepercayaan). Agama Islam telah menjadi teras kepercayaan masyarakat Melayu. (Politik dan Pentadbiran). Sistem Feudal (bangsawan) merupakan bentuk sistem pentadbiran yang diamalkan oleh kebanyakan kerajaan Melayu tradisi. (Sosial dan budaya)

Masyarakat Melayu mempunyai hierarki sosialnya yang mana Raja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan dan diikuti oleh golongan pegawai, pemimpin-pemimpin tempatan dan seterusnya rakyat biasa. Dari aspek kebudayaan ditonjolkan adat istiadat Melayu seperti adat menyambut kelahiran putera raja, adat pertabalan raja dan sebagainya. (Sumber Ekonomi). Hikayat Raja Pasai menunjukkan kegiatan ekonomi tradisi masyarakat Melayu tradisi seperti memungut hasil hutan, memburu dan menternak binatang serta bertani (padi huma). Masyarakat Melayu juga pada ketika itu telah ada aktiviti perdagangan dan perlombongan emas.

Kesimpulannya, Pasai sebagai pusat intelektual Melayu-Islam terus berkembang walaupun Melaka kemudiannya mengambil alih sebagai pusat Tamadun Melayu. Pasai terus menjadi sumber rujukan kepada Melaka khususnya yang berkaitan dengan hal-hal agama Islam. Umpamanya Kitab Durr al-Mandhum telah dihantar ke Pasai untuk diterjemahkan ke dalam BM atas perintah Sultan Mansur Syah.

Melaka (1400-1511 M)

Melaka muncul sebagai sebuah kuasa atau empayar yang terpenting di Alam Melayu khususnya sebagai;

  1. pusat penyebaran agama Islam
  2. pusat perdagangan
  3. pusat perkembangan Bahasa Melayu
Melalui dimensi (i), Melaka muncul sebagai pusat agama Islam terpenting di Aia Tenggara menjelang pertengahan abad ke-15. Pemerintah pertama yang memeluk Islam ialah Megat Iskandar Syah manakala Sultan Muzaffar Syah pula telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Melaka.

Antara cara-cara penyebaran agama Islam di Melaka ialah melalui perkahwinan, penaklukan wilayah, perdagangan dan kegiatan mubaligh/pendakwah.

Melalui dimensi (ii) pula, Melaka muncul sebagai pelabuhan entreport antarabangsa yang sibuk dan maju disebabkan oleh keudukannya yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah jalan perdagangan Timur-Barat. Empat orang Syahbandar telah ditugaskan untuk menyediakan kemudahan bagi aktiviti perdagangan dan juga memungut cukai. Dengan erti kata lainnya, Melaka ketika itu telah mempunyai sistem ekonomi yang sistematik dan teratur.

Manakala melalui dimensi (iii), ianya mempunyai kaitan yang rapat dengan peranan Melaka menerusi dimensi (i) dan (ii) sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pendakwah yang mana ia telah digunakan bagi menyebarkan agama Islam. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa 'lingua franca' melalui kegiatan perdagangan. Bahasa Melayu telah dituturkan oleh pedagang-pedagang asing untuk berkomunikasi sama ada dengan pihak pemerintah mahupun sesama mereka.

Kesimpulannya, Bahasa Melayu telah mencapai martabat yang tinggi pada zaman Melaka ekoran daripada peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat kegiatan perdagangan. Melaka muncul sebagai pusat perkembangan Bahasa Melayu yang terulung dan ini jelas mencerminkan ketinggian ketamadunan masyarakat Melayu pada ketika itu.

Kesimpulan

Kemunculan pusat-pusat Tamadun Melayu tradisi telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembinaan kerajaan-kerajaan yang seterusnya. Malah dengan kemunculan pusat-pusat Tamadun Melayu tradisi telah berjaya menaikkan martabat bangsa Melayu sama ada di peringkat rantau Kepulauan Melayu atau antarabangsa. Namun apa yang dapat diperhatikan ialah pusat-pusat Tamadun Melayu tradisi berjaya mencapai tahap kegemilangan adalah hasil daripada peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran serta perantaraan dan ini secara tidak langsung telah memperkukuhkan jati diri bangsa Melayu serta mencerminkan identiti Tamadun Melayu yang sebenarnya. 

No comments:

Post a Comment