Thursday, June 17, 2010

Kepentingan kesahan ujian yang dibina guru

Tanggungjawab utama guru dalam fungsinya melaksanakan penilaian pendidikan ialah memastikan bahawa keputusan yang dikeluarkan oleh sesuatu peperiksaan mempunyai darjah kesahan yang tinggi. Apabila timbul sesuatu isu yang boleh menjejaskan kredibilitinya, guru itu sebenarnya dituntut untuk menyemak sama ada isu itu boleh menyebabkan darjah kesahan terjejas atau tidak. Jika darjah kesahan masih terjamin tinggi, keputusan peperiksaan dan ujian atau kenyataan yang dikeluarkannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Untuk itu, badan guru perlu mematuhi prinsip-prinsip utama dalam pengujian, antaranya dari segi kesahan pengujian tersebut.

Kesahan, secara tradisi, didefinisikan sebagai darjah sesuatu ujian menguji apa yang hendak diuji. Dengan definisi yang mudah ini, tanggungjawab guru juga mudah iaitu memastikan soalan ujian menguji apa yang hendak diuji. Jika terbukti apa yang diuji oleh sesuatu soalan itu benar menguji apa yang hendak diuji maka keputusan yang dikeluarkan daripada ujian itu dianggap sah dan boleh diguna untuk apa ujian itu diadakan.Teori moden mendefinisikan kesahan sebagai ukuran sejauh mana skor atau markah atau gred yang diperoleh calon dalam ujian menggambarkan kebolehan sebenar calon itu dalam perkara di mana calon itu diuji. Dalam mata pelajaran Aplikasi Elektrik dan Elektronik misalnya, murid diuji untuk melihat pencapaiannya dalam pembelajaran bagi mata pelajaran tersebut. Oleh itu, jika gred yang diperoleh kebanyakan calon dapat menggambarkan pencapaian sebenar mereka dalam pembelajaran bagi mata pelajaran itu bermakna ujian itu mempunyai darjah kesahan yang tinggi.

Untuk mencapai hasrat itu, kertas soalan yang disediakan untuk sesuatu ujian hendaklah juga mematuhi prinsip kesahan yang berkaitan dengan kandungan ujian iaitu relevan dan representativeness. Relevan ialah prinsip yang mengkehendaki semua soalan yang terkandung dalam kertas soalan ujian berkaitan dengan kurikulum yang terdiri daripada sukatan pelajaran dan pedagogi atau kaedah pengajaran. Prinsip relevan tidak menghendaki supaya semua soalan dalam kertas ujian mesti terdapat dalam sukatan pelajaran dan dipelajari murid dalam bilik darjah.

Soalan-soalan ujian dianggap relevan jika perkara yang disoal berkaitan dengan sukatan pelajaran, bukan semestinya berada sepenuhnya dalam sukatan pelajaran itu. Hal ini demikian untuk membolehkan soalan-soalan berbentuk penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreatif dapat dikemukakan dalam ujian. Dengan mengemukakan soalan-soalan yang relevan dengan sukatan pelajaran dan dengan apa yang dipelajari, ujian dapat mengukur pencapaian murid dalam pembelajarannya. Ujian yang sedemikian juga dapat membezakan murid yang berpencapaian tinggi dengan murid yang berpencapaian sederhana dan rendah.

Representativeness pula ialah prinsip yang menghendaki kandungan kertas soalan atau ujian mencakupi kandungan kurikulum atau sukatan pelajaran yang digunakan untuk mata pelajaran dalam peperiksaan berkenaan. Kita ambil contoh, kertas soalan mata pelajaran Aplikasi Elektrik dan Elektronik untuk peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan Lima. Murid-murid yang menduduki peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan Lima selalunya perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran daripada Tingkatan Empat hingga Tingkatan Lima. Walau bagaimanapun soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan Lima tidak semestinya semua perkara yang terdapat dalam sukatan pelajaran atau semua perkara yang dipelajari daripada Tingkatan Empat hingga Tingkatan Lima.

Dalam situasi peperiksaan yang terhad masa dan ruangnya, soalan-soalan yang dikemukakan hanyalah merupakan sampel yang mewakili perkara-perkara penting dalam sukatan pelajaran. Untuk memastikan darjah kesahan ujian yang tinggi, sampel soalan yang digunakan dalam kertas soalan ujian mestilah cukup dan mencakupi sebahagian besar perkara penting dalam sukatan pelajaran.

Walau bagaimanapun, jika soalan-soalan yang dikemukakan tidak cukup mencakupi sukatan pelajaran tetapi mampu meramalkan atau memberi petunjuk tentang pencapaian murid dalam pembelajaran bagi mata pelajaran berkenaan, ujian masih dianggap mempunyai darjah kesahan yang tinggi kerana kesahan dilihat bukan sahaja daripada segi kandungan ujian tetapi juga daripada segi kebolehannya meramal dan memberi petunjuk prestasi murid yang diuji.

No comments:

Post a Comment