Sunday, June 13, 2010

Definisi/Istilah Dalam Ujian/Pentaksiran

Kesahannya

Berkaitan dengan sejauh mana sesuatu ujian mengukur apa yang sebenarnya kita ingin ukur. Kesahan adalah satu konsep penting yang mesti difahami apabila kita ingin membina sesuatu ujian. Kesahan mengukur apa yang sepatutnya diukur (Bhasah, 2003). Menurut Siti Rahayah (2008), analisis Rasch boleh digunakan untuk menentukan kesahan instrumen. Sesuatu instrumen dianggap sah jika ia boleh mengukur apa yang hendak diukur.

Kebolehpercayaan

Kebolehpercayaan merujuk kepada ketekalan atau kestabilan ukuran yang dibuat (Mohd Najib, 1997). Menurut Siti Rahayah (2008), model Rasch boleh digunakan untuk memperolehi indeks kebolehpercayaan bagi item dan individu. Indeks kebolehpercayaan item dapat mengenalpasti kesahan alat ukur, manakala indeks kebolehpercayaan individu dapat digunakan untuk mengenalpasti kebolehpercayaan alat ukur.

Ujian

Merupakan satu tugasan atau satu siri tugasan yang digunakan untuk mendapatkan satu pemerhatian (maklumat) yang sistematik di mana tugasan itu diandaikan representative (wakilan) bagi trait pendidikan atau atribut (Sax, 1989). Menurut Mohd Najib (1997), ujian adalah proses pengukuran yang memerlukan alat yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Manakala bagi Ng See Ngean (1991). Ujian ialah alat yang direkabentuk dengan tujuan mendapatkan maklumat yang relevan untuk membuat keputusan yang praktikal. Ia juga satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperolehi pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan dan psikologi (Mokhtar Ismail, 1995).

Pengujian

Pengujian ialah teknik mengumpul maklumat yang menggunakan ujian sebagai instrumen atau alat (Liew Cheong Chaing, 1999)

Pentaksiran

Pentaksiran merupakan sebahagian proses pembelajaran, melibatkan satu proses mengumpul data yang bertujuan membuat keputusan tentang individu atau kumpulan (Bhasah, 2003). Pentaksiran bilik darjah meliputi satu kaedah dan sumber yang luas digunakan oleh guru untuk mengumpul, menginterpretasi dan mensintesis maklumat tentang pelajar (Cizek, 1993).

Kompetensi

Keupayaan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan atau tugasan berdasarkan standard dan kriteria tertentu dari jenis pengetahuan, kemahiran atau sikap (Ahmad Tajuddin, 2006). Satu proses mendapatkan bukti-bukti dan seterusnya membuat penghakiman tentang pelajar dalam melakukan sesuatu tugasan berdasarkan kepada sesuatu standard yang telah dikenal pasti (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2003).

No comments:

Post a Comment