Wednesday, June 2, 2010

Ibrahim hancurkan berhala

AZAR, bapa Nabi Ibrahim bekerja sebagai pengukir patung untuk dijual kepada orang ramai bagi dijadikan berhala yang disembah. Malah, dia sendiri termasuk orang pertama menyembah patung itu.

Nabi Ibrahim menasihatkan bapanya supaya meninggalkan pekerjaan itu dan tidak lagi menyembah patung dengan memujuknya. Dalam mengajak bapanya ke jalan lurus, beliau turut mengemukakan hujah logik.

Beliau berkata: "Wahai bapa, mengapa kamu menyembah benda mati yang tidak dapat melihat, tidak mampu mendengar dan tidak memberi pertolongan kepada kita."

Kemudian Ibrahim cuba memujuk bapanya. Ketika berdamping dengan bapanya, beliau tidak menonjolkan kelebihan ilmunya kerana risau dianggap bapanya sebagai penghinaan.

Namun, Ibrahim berkata: "Walaupun aku mempunyai sebahagian ilmu yang didatangkan Allah kepadaku, ikutlah nasihatku kerana aku menunjukkan jalan lurus kepada kamu. Dan ketahui wahai bapa, syaitan sangat derhaka kepada Tuhannya dan menjerumuskan kamu ke dalam kesesatan hingga menyebabkan kamu mendapat azab daripada Allah."

Bapanya berkata: "Sungguh aneh, apakah kamu berpaling tadah dan lari meninggalkan ibadah kepada berhala wahai Ibrahim! Jika kamu tidak menghentikan laranganmu terhadapku daripada beribadah kepada berhala, aku akan merejammu dengan batu. Pergi dari sini, dari hadapanku selama-lamanya jika kamu mahu selamat."

Ibrahim langsung tidak gentar dengan ugutan bapanya itu, malah berkata: "Semoga keselamatan tetap dilimpahkan kepadamu dan aku akan memohonkan keampunan untukmu kepada Tuhan, supaya tidak menyeksamu. Tuhanku amat mulia, Dia akan mengabulkan doaku.

"Apabila seruanku kepadamu supaya beriman menyakitimu, aku akan menjauhimu dan kaummu serta menjauhi tuhan yang kamu serukan selain Allah agar aku beribadah kepada Allah semata-mata. Mudah-mudahan dengan beribadah kepada-Nya aku tidak kecewa dan kehilangan semangat seperti kamu dalam beribadah kepada tuhanmu."

Teguran Nabi Ibrahim itu tidak dapat diterima bapanya sehingga Allah menjelaskan bahawa bapanya itu adalah musuh-Nya, semata-mata kerana tidak mahu meninggalkan penyembahan berhala.

Firman Allah: "Dan permintaan ampun daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya, tidak lain kerana satu janji yang diikrar kepada bapanya. Ketika jelas bagi Ibrahim bapanya itu musuh Allah, Ibrahim melepaskan diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim seorang yang sangat lembut hati, malah bersopan-santun."

Ibrahim tidak berputus asa, malah dengan hati cekal dan keimanan mantap, beliau berazam untuk menghancurkan berhala dan patung yang disembah kaumnya.

Beliau mahu memusnahkan berhala itu supaya ia menimbulkan kemarahan Raja Namrud, sehingga dibicarakan di khalayak ramai dan berpeluang berhujah menggunakan akal.

Waktu bagi Nabi Ibrahim menghancurkan berhala tiba, iaitu pada hari perayaan rakyat Babylon. Menjadi tradisi negara itu, pada hari berkenaan semua rakyat berburu di luar bandar. Sebelum memulakan perjalanan mereka menghidangkan makanan di sisi patung.

Nabi Ibrahim mengambil kesempatan itu, lalu pergi ke tempat pemujaan yang penuh dengan patung dan berhala untuk memusnahkannya.

Sebelum dihancurkannya, beliau bercakap dengan patung itu, sambil berkata: "Wahai patung mengapa kamu tidak makan, sedangkan makanan yang lazat ada di sampingmu?"

Dalam hati, Ibrahim berkata: "Tentu saja patung ini tidak mahu memakannya dan tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun. Mengapa patung yang tidak berdaya, tidak boleh diminta pertolongan dipuja dan disembah? Sungguh bodoh fikiran mereka."

Kemudian Ibrahim menghancurkan semua berhala itu dengan kapak. Hanya sebuah patung paling besar ditinggalkannya dan pada lehernya digantung sebilah kapak besar.

Ini bertujuan meninggalkan bukti kepada kaumnya bahawa berhala besar itu telah menghancurkan patung yang lebih kecil daripadanya kerana ada kapak besar tergantung pada lehernya.

Apabila kaumnya pulang daripada berburu, mereka terperanjat besar kerana mendapati berhala yang mereka sembah musnah. Mereka menuduh Ibrahim melakukannya kerana beliau tidak mengikuti rombongan berburu.

Perkara itu akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Namrud, lalu memerintahkan supaya Ibrahim ditahan. Namun, ada kalangan pegawainya tenteranya mencelah bahawa Ibrahim tidak boleh ditangkap kerana tiada bukti beliau melakukannya.

Raja Namrud berkata: "Sudahlah jangan banyak cakap, tangkap saja orang itu walaupun belum ada bukti nyata." Selepas itu, Ibrahim ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah Raja Namrud, dengan disaksikan orang ramai.

Raja Namrud berkata: "Adakah kamu wahai Ibrahim yang menghancurkan berhala itu?"

Ibrahim menjawab: "Tidak."

Raja Namrud berkata: "Jangan mengelak Ibrahim, mengaku saja atas perbuatanmu itu."

Ibrahim menjawab: "Tidak sekali-kali," sambil menambah:

"Baiklah Raja Namrud, saya mempunyai fikiran dan kamu juga mempunyai fikiran. Kes yang mahu diadili hari ini bagi mencari orang yang menghancurkan berhala itu? Siapa menghancurkan mereka dan buktinya sekarang masih ada, satu patung besar dan di tangannya ada kapak besar, mungkin ia melakukannya."

Namrud bertambah marah dan berkata: "Wahai Ibrahim, engkau banyak helah, tidak mungkin engkau buat aku dan rakyatku sebodoh itu. Tidak mungkin patung seperti itu boleh bercakap, sedangkan aku hanya bertanya siapa melakukannya, engkau terlalu bodoh wahai Ibrahim."

Ibrahim menjawab: "Yang bodoh bukan aku wahai Raja Namrud, tetapi kamu dan seluruh rakyatmu yang menyembah berhala bodoh itu. Buktinya patung yang tidak berdaya, tidak mampu bercakap, tidak boleh diminta pertolongan dan tidak membawa kebaikan kamu sembah.

"Itu menunjukkan kebodohanmu. Mustahil orang yang mempunyai akal sujud kepada batu. Bukankah hal itu menunjukkan kebodohan kamu dan rakyatmu."

 

Sumber: http://klikkhas.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment