BELAJAR secara kumpulan adalah salah satu kaedah belajar yang mampu mengurangkan rasa bosan tetapi menguatkan daya ingatan.
Murid-murid yang berada di asrama umpamanya perlulah memanfaatkan kaedah ini kerana mereka lebih berpeluang berada dalam kumpulan sama ada pada waktu petang atau malam semasa menghadiri kelas persediaaan.
Kebanyakan murid menganggap belajar secara kumpulan ini merugikan masa atau tidak mampu memberi tumpuan. Sebenarnya belajar secara kumpulan memerlukan perancangan yang rapi serta kerjasama yang erat daripada anggota kumpulan.
Berikut diberi beberapa panduan belajar secara kumpulan.
1. Jumlah anggota kumpulan
Seeloknya jumlah anggota kumpulan adalah antara 3 hingga ke 5 orang sahaja. Jika terlalu ramai interaksi tidak dapat dijalankan secara berkesan dan ianya memakan masa yang lama.
2. Topik pembelajaran
Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai kata sepakat tentang topik yang menjadi pilihan mereka untuk belajar dalam kumpulan. Topik tersebut perlulah dibaca dan dikaji dahulu sebelum hadir untuk sesi tersebut.
3. Kaedah pembelajaran
- Pecahan topik: Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai tugas untuk menganalisis topik mengikut pembahagian dan pecahan topik.
- Analisis: Setiap anggota kumpulan perlulah menganalisis tugas yang diberikan dengan cara membuat catatan ringkas, rajah, peta minda atau pengurusan grafik. Sebarang keraguan yang terdapat sewaktu proses menganalisis dijalankan perlulah diambil perhatian agar perkara ini dapat dikemukakan kepada anggota lain untuk membantu ke arah penyelesaian.
- Persembahan: Setiap anggota kumpulan perlulah mempersembahkan tugasan mereka secara tidak formal dan bergilir-gilir. Persembahan perlulah dibuat secara jelas dengan menggunakan bahasa yang mudah tetapi mengekalkan sebutan istilah-istilah yang tertentu dan penting.
- Interaksi: Selepas persembahan anggota lain perlu berinteraksi iaitu sama ada bertanya atau memberi pandangan atau teguran jika salah. Proses ini mampu menjelaskan lagi masalah yang terdapat dalam topik tersebut serta dengan tidak secara langsung menguatkan lagi daya ingatan.
- Rumusan: Setiap perbincangan perlulah dibuat rumusan sama ada dalam bentuk nota atau peta minda agar daya ingatan dapat dikekalkan.
Seorang anggota kumpulan perlulah dilantik untuk menyelaras aktiviti yang dijalankan agar ia lebih terancang dan berjaya memenuhi tujuannya. Bagaimanapun setiap anggota kumpulan perlu memainkan peranan masing-masing dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Sesungguhnya belajar secara kumpulan ini tidak memberi sebarang tekanan kerana ianya dijalankan secara mesra, ikhlas dan di ruang yang lebih lapang dan tidak terhad dalam bilik darjah sahaja.
Oleh: Dr. Ismail Zain
Sumber: http://www.tutor.com.my/
No comments:
Post a Comment