PADA suatu hari, Nabi Muhammad mengarahkan Amru al-As bersiap sedia ke medan perang. Arahan itu dikeluarkan selepas Nabi Muhammad mendengar berita pihak musuh akan menyerang tentera Islam. Beliau mengirimkan Amru bin al-As, dibantu oleh Khalid al-Walid. Pada masa itu, Khalid sudah memeluk agama Islam.
Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada Amru, “Saya hantar kamu ke medan perang kali ini. Kamu mesti mengetuai angkatan tentera perang Islam”.
Setiap kali apabila tentera Islam menang dalam peperangan, mereka dihadiahkan dengan harta rampasan perang. “Saya tidak mahu harta rampasan perang itu,” kata Amru kepada Nabi Muhammad.
Bagi Amru bin al-As, beliau memeluk Islam bukan kerana harta benda, tetapi kerana keikhlasan dan ketaatannya kepada Allah dan Nabi Muhammad.
Kemudian Nabi Muhammad memberitahunya, “Kemenangan kamu di medan pertempuran patut dihadiahkan dengan harta rampasan perang. Rezeki itu adalah hak kamu”.
Amru bersiap sedia berangkat ke medan perang. Angkatan perang Islam berangkat pada sebelah malam hari, kerana tidak mahu disedari oleh pihak musuh. Mereka tidak dengan selamat di tempat kubu tentera Islam.
Amru al-As mengetahui pihak musuh mempunyai pelbagai strategi bagi mengalahkan tentera Islam. Strategi mereka tersusun rapi.
Melihat keadaan itu, Amru mengirim seorang yang bernama Rafi bin Makis al-Jahni berjumpa Nabi Muhammad. Amru berharap Nabi Muhammad dapat memberi bantuan kepada angkatan tentera Islam. Apabila Nabi Muhammad mendapat berita itu, beliau mengirimkan angkatan tentera Islam yang diketuai oleh Abu Ubaidah bin al-Jarrah. Seramai 200 tentera Islam ditambah. Angkatan tentera Islam pada kali ini disertai oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.
“Semasa kamu berjumpa angkatan tentera Islam yang diketuai oleh Amru al-As, kamu hendaklah bersatu padu dengannya. Jangan sesekali berselisih faham dengannya. Bersatu teguh bercerai roboh,” pesan Nabi Muhammad kepada Abu Ubaidah.
Angkatan tentera Islam yang diketuai oleh Abu Ubaidah berangkat ke medan perang. Pertama kali mereka berjumpa angkatan tentera yang diketuai oleh Amru al-As, perselisihan faham berlaku.
Ia berlaku apabila mereka mahu mengerjakan sembahyang. Masalah yang dihadapi adalah bagi menentukan siapakah yang berhak menjadi imam tentera-tentera Islam itu.
“Sepatutnya saya menjadi imam sembahyang ini. Nabi Muhammad mengutuskan saya ke sini dengan angkatan tentera yang ramai,” kata Abu Ubaidah.
Mendengar penjelasan Abu Ubaidah, Amru al-As cuba mempertahankan statusnya sebagai ketua utama dalam siri peperangan itu. Tambahan pula, Nabi Muhammad mengutuskannya terlebih dahulu menerajui peperangan itu.
“Mana boleh. Saya datang dahulu ke tempat ini. Saya hanya minta Nabi Muhammad menghantarkan bantuan bagi mengalahkan musuh.
“Sayalah orang pertama yang diamanahkan menjadi ketua angkatan perang ini. Kamu hanya sebagai pembantu saya,” jawab Amru al-As.
Amru al-As juga tidak mahu mengalah. Baginya, tugasan yang diberikan oleh Nabi Muhammad menyebabkan beliau bertanggungjawab menerajui siri peperangan itu.
“Saya tidak bersetuju. Sekiranya begitu kehendak kamu, saya cadangkan kamu pimpin angkatan tentera kamu dan saya pimpin angkatan tentera saya,” kata Abu Ubaidah.
Perselisihan faham terus berlaku antara mereka berdua. Tentera-tentera lain hanya menyaksikan mereka. Tentera-tentera Islam lain menunggu imam bagi sembahyang bersama-sama.
Tiba-tiba, Abu Ubaidah teringat pesan Nabi Muhammad supaya mereka tidak berselisih faham apabila berjumpa. Pihak musuh mudah mencari kelemahan angkatan tentera Islam sekiranya mereka berterusan berselisihan faham begitu. Perselisihan faham mereka berdua berakhir dengan aman.
Kemudian, Abu Ubaidah berkata kepada Amru, “Tidak mengapa. Saya tetap patuh dan taat dengan suruhan Nabi Muhammad. Saya akan ikut segala arahan kamu”.
Merek sembahyang bersama-sama, diimamkan oleh Amru al-As. Selesai bersembahyang, angkatan tentera Islam yang ramai itu meneruskan perjalanan sehingga sampai ke tempat kubu tentera musuh.
Peperangan antara tentera Islam dan tentera musuh sangat sengit. Akhirnya, tentera Islam berjaya mengalahkan musuh mereka.
Berkat mendengar nasihat dan patuh segala suruhan Nabi Muhammad, menyebabkan tentera Islam mencapai kemenangan.
Petikan daripada buku Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment