Friday, December 24, 2010

Pencapaian Universiti Lahir Modal Insan Diutama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) lebih menumpukan pencapaian universiti tempatan dalam perkara asas seperti melahirkan modal insan berbanding mengejar pengiktirafan antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata KPT tidak taksub dengan penarafan universiti, namun menjadikannya sebagai rujukan kedudukan institusi pengajian tinggi tempatan berbanding yang lain di peringkat dunia.

“Walaupun kita tidak begitu berjaya dengan kedudukan yang tidak memberangsangkan dalam proses penarafan yang terdapat di dunia, kita lihat dalam aspek lain iaitu perkara asas.

“Perkembangan terkini mendapati universiti kita telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam pelbagai aspek, dan kementerian amat berpuas hati dengan pencapaian ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, pencapaian dalam aspek modal insan di universiti penyelidikan menyaksikan jumlah pelajar pasca siswazah meningkat 34 peratus kepada 39,813 orang pada tahun ini, berbanding 2009.

Selain itu, bilangan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan kehadiran pelajar pasca siswazah antarabangsa juga meningkat, sekali gus menunjukkan penerimaan masyarakat antarabangsa terhadap universiti tempatan.

“Bagi bilangan kakitangan akademik yang memiliki PhD, ia meningkat daripada 3,348 orang kepada 3,742 orang. Begitu juga soal penerbitan jurnal berimpak yang menyaksikan peningkatan sebanyak 99 peratus daripada 3,221 penerbitan pada 2007 dan 2009, kini menjadi 6,419 penerbitan,” katanya sambil menambah peningkatan turut dicatatkan dalam aspek paten harta intelek dan penjanaan pendapatan.

2010/12/10
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment