Wednesday, December 15, 2010

Sesal Kemudian Tidak Berguna

SARAH Chee, 63, disahkan mengalami barah payudara 13 tahun lalu ketika gaya hidupnya begitu aktif, sangat sihat lagi cergas, berjoging tiga kilometer setiap hari adalah rutin.

“Pada 1997, doktor mengesahkan ada ketulan pada payudara saya dan mahu saya melakukan mamogram, tetapi selepas itu doktor memberitahu ia bukan barah... saya sangat lega. Disebabkan kejahilan dan sentiasa menafikan punya masalah kesihatan, ketulan yang ada tidak diendahkan sehinggalah 10 bulan berlalu.

“Pelik rasanya sebab kalau betul ia tidak bersifat barah, mengapa ketulan itu makin membesar. Akhirnya saya jadi mangsa sikap jahil dan tak ambil tahu apabila doktor mengesahkan ia barah payudara peringkat bahaya. Saat itu saya berasa alangkah baiknya jika bumi ini terbelah dan terus menelan tubuh ini hidup-hidup,” kata suri rumah berkenaan.

Sarah berkata, pelbagai persoalan berlegar dalam kepalanya, namun semua sudah terlambat dan kekesalan menebal memikirkan bagaimana dia langsung tidak mempedulikan ketulan yang ada selama 10 bulan, apatah lagi membuat kajian dan membaca mengenai barah payudara.

“Air mata sudah tak bermakna lagi, kini saya perlu menerima kenyataan untuk terus hidup dan payudara saya perlu dibuang,” katanya dalam nada kesal.

Bermula saat itu, seluruh keluarga dan anak-anaknya mula mengkaji, mendalami dan memahami karakter barah payudara termasuk menerusi internet dan buku. Dia sendiri mula meyakinkan diri untuk bangkit semula dan memulakan kehidupan baru yang lebih bermakna.

“Saya perlu lakukan sesuatu untuk diri dan masyarakat. Jika berlaku pada orang lain pun sekurang-kurangnya ia mampu dikesan awal, dikawal dan dirawat segera. Keghairahan menyertai Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA) dan berkhidmat kepada masyarakat timbul atas kesedaran itu dan hakikat tak mahu nasib sama menimpa insan lain,” tambahnya.

Apa yang menimpa Sarah adalah antara kes klasik pesakit barah payudara peringkat parah atau metastatik yang dibelenggu penafian dan kejahilan. Dia disahkan mengalami barah payudara ketika tahap kesedaran dan kempen mengenai penyakit itu kurang diambil peduli masyarakat.

“Ketika itu, bukannya tiada sebarang kempen mahupun iklan di dada akhbar, majalah atau TV dan radio, tetapi setiap kali terpandang mahupun terdengar, saya tak peduli dan menutup mata. Dalam hati, mana mungkin ia akan terjadi kepada diri dan keluarga yang mengamalkan hidup sihat lagi cergas,” katanya lagi.

Kini Sarah aktif memberi ceramah secara sukarela selain sesi kaunseling di sekolah dan hospital, bertemu pelajar dan pesakit barah payudara peringkat awal untuk meyakinkan mereka bahawa apa yang berlaku bukan hukuman mati, sebaliknya rawatan serta pengurusan penyakit yang baik mampu memanjangkan jangka hayat mereka.

“Pencegahan adalah cara terbaik, lakukanlah pemeriksaan payudara sendiri di rumah dan sebarkan maklumat mengenai penyakit ini kepada lima insan terdekat yang anda sayangi,” jelasnya yang turut berkongsi nasihat berguna diberikan pakar perubatan yang menegaskan setiap ketulan pada payudara perlu dianggap sebagai mencurigakan.

Oleh: Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment