Monday, December 20, 2010

Berusaha Menuju Kesempurnaan

SEMPURNA bermaksud cukup, lengkap, tiada cacat celanya. Kesempurnaan juga bererti efektif dan efisien dalam melaksanakan tugas. Efektif bermaksud berhasil mencapai matlamat yang ditujui manakala efisien pula bermaksud menggunakan sebaik-baiknya tempoh masa yang ada dalam usaha mencapai matlamat tersebut.

Konsep itqan dalam Islam juga merujuk kepada maksud sempurna atau konsep profesionalisme. Namun perkataan itqan itu mempunyai konotasi yang lebih luas dan holistik kerana ia bertaut kepada aspek ketauhidan kepada Allah SWT.

Dalam kupasan minggu ini perkataan sempurna digunakan bagi memudahkan pemahaman pembaca, tetapi pada dasarnya, ia merujuk kepada konsep itqan yang dimaksudkan.
Bagi seseorang insan itu, kesempurnaan dalam menuju matlamat insan diciptakan ialah apabila ia berusaha untuk memenuhi segenap aspek kehidupannya di dunia ini sebagai ibadah kepada Allah SWT semata-mata, sebagaimana maksud ayat 56 surah Az-Zaariyat.

Kesempurnaan dalam bidang profesional

Faktor kesempurnaan semakin signifikan apabila dikaitkan dengan bidang profesional seperti kedoktoran dan kejuruteraan. Profesion sebagai doktor atau jurutera umpamanya, memerlukan kejituan serta ketelitian yang tinggi dalam tugasan mereka kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Doktor yang merawat pesakit perlu berusaha memastikan kesempurnaan terhadap rawatan yang diberikan. Diagnosis penyakit perlu teliti, preskripsi ubat perlu sesuai, serta rekod perubatan perlu objektif demi memastikan kualiti kesihatan pesakit semakin meningkat selepas rawatan (dengan izin Allah).

Andai doktor cuai, penyakit bakal melarat, penyakit lain pula menghambat, dan kemudiannya pesakit semakin tenat. Emosi pesakit dan keluarga pula semakin meruntun. Kredibiliti doktor juga bakal dipersoal, malah mungkin dipertanggungjawabkan atas ketidaksempurnaan tugas yang dilaksanakan.

Jurutera yang merencana pembinaan bangunan atau lebuh raya perlu berusaha memastikan kesempurnaan dalam pembinaan yang dirancangkan.

Bahan yang digunakan perlu berkualiti, reka bentuk yang dirancang perlu selamat serta mempunyai ketahanan untuk menanggung beban berat manusia dan kenderaan yang menggunakannya.

Andai jurutera cuai, bangunan mungkin retak lantas mengundang bahaya buat penghuni serta sekitarnya. Ditakuti bahawa bangunan mungkin tumbang atau runtuh secara tiba-tiba lalu mengakibatkan ramai terkorban serta kehilangan harta benda.

Di kala itu sang jurutera dipertanggungjawabkan, punca kejadian dicari dan hukuman bakal menanti andai didapati bersalah. Sudah tentu kita tidak mahu tragedi tumbangnya kondominium Highland Towers 15 tahun lepas berulang lagi.
 
Kesempurnaan dalam pelajaran

Bagi remaja yang masih menempuhi pelajaran, sifat kesempurnaan itu akan membantu ke arah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kesempurnaan dalam pelajaran perlu bermula sejak awal tahun persekolahan atau semester dan bukannya hanya apabila tempoh peperiksaan semakin menghampiri.

Dari segi tugasan, implementasi sempurna terhadap pelajaran bermaksud tugasan dilaksanakan dengan betul dan lengkap pada waktunya. Tugasan juga mungkin dilaksanakan atas inisiatif sendiri atau perbincangan bersama rakan tetapi bukannya dengan meniru secara bulat-bulat daripada mana-mana rujukan sekalipun.

Kesempurnaan juga merangkumi inisiatif sendiri dalam melakukan latih tubi serta pembacaan yang intensif terhadap bahan berkaitan peperiksaan. Justeru, bersifat proaktif dengan kaedah belajar sendiri merupakan langkah utama dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.

Di samping itu, aktif dalam kegiatan kokurikulum yang tidak menjejaskan pelajaran serta halaqah juga menjurus ke arah kesempurnaan dalam pembentukan watak seseorang pelajar itu.

Kesempurnaan yang berimbang

Kesempurnaan bukan sahaja berkaitan perkara yang dihuraikan di atas tetapi juga meliputi segenap aspek dalam kehidupan insan. Kesempurnaan dalam sesuatu aspek sahaja tetapi mengabaikan aspek lain tidak dapat menghasilkan kecemerlangan yang holistik bagi seseorang insan itu serta insan lain di dalam lingkungan pengaruhnya.

Bagi mereka yang berkerjaya dan berkeluarga misalannya, kesempurnaan dalam kerjaya melalui dedikasi masa dan tenaga bakal membuahkan hasil dalam bentuk kenaikan pangkat, pendapatan yang lebih tinggi atau sebagainya.

Namun jika tuntutan berkerjaya mengatasi tanggungjawab sebagai seorang Muslim contohnya solat ditinggalkan kerana terlalu sibuk dengan tugasan kerja, adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam aspek pembangunan diri sebagai seorang Muslim?

Dan jika kesibukan terhadap kerjaya menyebabkan kurangnya masa untuk bersama keluarga dan mendidik mereka, anak-anak bakal membesar dan 'terdidik' dengan acuan di kaca televisyen, permainan video, internet dan rakan sebaya dalam usaha mereka memenuhi kesunyian akibat kurangnya tumpuan ibu bapa.

Tetapi apabila anak-anak terlibat dengan pelbagai gejala sosial maka adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam pembinaan keluarga yang bahagia dan mithali? Adakah kesempurnaan dalam kerjaya mampu menebus kepincangan keluarga sendiri? Sudah tentu jawapannya tidak.

Justeru usaha menuju kesempurnaan berkaitan sesuatu aspek itu perlu berimbang dengan keperluan mencapai kesempurnaan dalam aspek lain agar kita berhasil menuju kesempurnaan dalam kualiti kehidupan secara keseluruhannya.

Berusaha menuju kesempurnaan

Dalam usaha kita menuju kesempurnaan, kita seharusnya memahami hakikat bahawa sifat kesempurnaan yang hakiki itu hanya menjadi milik Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu berusaha dengan sebaik mungkin dengan izin Allah dalam mencapai sesuatu.

Hasil reka cipta dan kerja tangan manusia tidak akan dapat menandingi sebarang elemen alam ciptaan Allah. Sebagai contoh, robot yang menyerupai manusia atau humanoid versi terkini dikatakan mampu untuk berjalan serta berlari.

Secara umumnya kemampuan fizikalnya untuk berlari hampir menyamai keupayaan manusia untuk berlari. Tetapi jika ada bahagian robot yang rosak, robot tidak mampu memperbaiki diri sendiri, walhal sistem tubuh manusia mampu menjana penyembuhan sendiri terhadap luka yang dihadapi.

Manusia diberikan keupayaan berfikir yang ada keterbatasannya serta memerlukan pedoman wahyu Ilahi untuk memandu kehidupan di dunia ini. Pemahaman terhadap hakikat ini seharusnya mewujudkan rasa ketundukan dan kehambaan kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Manusia itu sendiri bersifat lalai maka akan sahaja melakukan kesilapan. Namun sebaik-baik manusia ialah mereka yang mempelajari kesilapan mereka dan tidak mengulanginya lagi. Namun kita dituntut untuk berusaha untuk menghampiri serta menuju kesempurnaan kerana ia akan membawa kebaikan secara keseluruhannya.

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yahoo.com)
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

No comments:

Post a Comment