NAMA sebenarnya ialah Ummu Kulsum binti Uqbah bin Abi Muith al-Amawiyyah al-Quraisyah. Bapanya merupakan seorang musuh Islam yang kuat. Sementara ibunya bernama Arwa binti Kuraiz merupakan srikandi yang memberi sumbangan kepada Islam.
Ummu Kulsum mempunyai saudara tiri yang bernama Usman bin Affan. Manakala adik-beradik kandungnya sebanyak enam orang iaitu al-Walid, Imarah, Khalid, Ummu Kulsum, Ummu Hakim dan Hindun.
Ummu Kulsum seorang wanita yang berani, cekal dan tabah. Hal ini terbukti semasa Ummu Kulsum di tahan oleh orang kafir Quraisy. Mereka menahan Ummu Kulsum daripada ikut serta berhijrah ke Madinah.
Semasa di Mekah, orang kafir Quraisy telah menyeksa Ummu Kulsum dan wanita Islam yang lain. Namun penyeksaan yang diterima oleh Ummu Kulsum tidak mematahkan semangatnya untuk berhijrah ke Madinah.
Pada suatu hari, Ummu Kulsum telah mendapat satu idea. Dia ingin berhijrah ke Madinah sendirian.
"Saya rasa dengan cara ini mungkin saya boleh berhirah ke Madinah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Ummu Kulsum mendapat idea, lalu dia pun pergi ke luar rumahnya menjuju ke kampung yang terletak di padang pasir. Perkampungan itu agak terpencil. Ummu Kulsum pergi ke rumah saudaranya yang tinggal di kampung itu.
"Sudah agak lama awak tidak datang ke sini," kata saudaranya.
"Saya sibuk di rumah. Sekarang ini baru saya ada masa lapang," balas Ummu Kulsum.
Mereka berbual panjang. Kemudian Ummu Kulsum bertanya kepada saudaranya, "Bolehkah saya bermalam di sini?"
Saudaranya pun menjawab, "Boleh, apa salahnya. Awak tinggal di sini lebih lama pun tidak mengapa. Kita ini bersaudara. Elok kita jalinkan tali silaturrahim. Banyak pahala dan berkatnya."
"Terima kasih. Saya bercadang untuk tinggal di sini dua atau tiga hari lagi. Kemudian saya perlu pulang ke rumah semula," jelas Ummu Kulsum.
"Baiklah," jawab saudaranya.
Ummu Kulsum bermalam di rumah saudaranya. Dia berharap rancangannya berhijrah ke Madinah akan berjaya. Sampai masanya, Ummu Kulsum pulang semula ke rumahnya. Saudaranya juga tidak menghalangnya pulang ke rumah. Selang beberapa hari kemudian, Ummu Kulsum bersiap-siap seperti hendak ke rumah saudaranya lagi.
"Saya harap rancangan saya untuk pergi ke Madinah hari ini akan berjaya," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Semasa dia bersiap untuk ke luar rumah, keluarganya menegurnya. "Awak hendak pergi ke rumah saudara awak lagikah?"
Sebelum ini keluarga Ummu kulsum sudah mengetahui bahawa dia pergi ke rumah saudaranya di perkampungan terpencil itu.
"Saya perlu bawa sedikit bekalan makanan," kata Ummu Kulsum.
"Ambil makanan ini," kata keluarganya sambil menghulur bekalan makanan kepadanya.
"Berhati-hati semasa dalam perjalanan ke sana," pesan keluarganya.
Ummu Kulsum terlepas daripada ditahan oleh ahli keluarganya. Dia terus berjalan meninggalkan rumahnya.
Kemudian datang seorang lelaki bertanya kepadanya, "Awak hendak kemana?"
"Ini bukan urusan awak. Mengapa awak ingin tahu?" jawab Ummu Kuslum.
Lelaki itu dengan beraninya berkata, "Awak tidak perlu takut dengan saya. Saya berasal dari Khazaah. Sekiranya awak tidak keberatan, saya sedia membantu awak."
"Lega rasanya bila dapat tahu lelaki ini dari Khazaah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Khazaah adalah satu wilayah pemerintahan Nabi Muhammad. Wilayah itu telah terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad.
"Saya adalah wanita Quraisy. Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad. Masalah saya sekarang ialah saya tidak tahu jalan hendak ke sana," jelas Ummu Kulsum.
Lantas lelaki itu berkata, "Saya tahu selok-belok jalan ke kota Madinah. Jika awak tidak keberatan saya boleh teman awak ke sana."
"Baik, saya setuju," jawab Ummu Kulsum.
Tanpa berlengah masa, lelaki itu pergi mengambil seekor unta. Unta itu diberikan kepada Ummu Kulsum untuk dinaiki. Mereka meneruskan perjalanan. Akhirnya mereka sampai di kota Madinah.
"Seronoknya saya. Dapat juga saya sampai di kota Madinah ini," bisik Ummu Kulsum sendirian.
"Terima kasih kerana sudi membantu saya," ucap Ummu Kulsum kepada lelaki itu.
"Sama-sama. Semoga awak berjaya berjumpa Nabi Muhammad," kata lelaki itu pula.
Akhirnya Ummu Kulsum berjaya berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Oleh: Arbain Muhayat
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/
No comments:
Post a Comment