Friday, December 3, 2010

Teladani Jiwa Kasih Sayang Nabi

SAMBUTAN Maulidur Rasul yang disambut Khamis lalu pastinya mempunyai makna yang besar untuk direnungi oleh umat Islam khususnya di Malaysia. Apatah lagi sambutan gilang-gemilang tersebut diadakan setelah rakyat baru sahaja selesai melalui kehangatan pilihan raya yang hakikatnya banyak mencetuskan ketegangan dan pertelingkahan emosi.

Apa yang pasti sambutan ini bukanlah sekadar upacara rutin tahunan dengan laungan selawat tanpa makna dan erti. Sebaliknya Maulidur Rasul harus dihayati dalam konteks yang lebih luas merangkumi agenda pembentukan peribadi umat cemerlang dan gemilang berteraskan model keperibadian dan kejiwaan Rasulullah s.a.w.

Dalam penulisan kali ini, penulis berkecenderungan menyingkap jiwa kasih sayang yang merupakan salah satu ciri terpenting keperibadian Nabi. Malah sifat kasih sayang yang menerasi jiwa dan akhlak Nabi s.a.w. sering diulang-ulang dalam al-Quran. Allah berfirman:

"Muhammad itu utusan Allah dan orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir (yang bermusuh dengan Islam) tetapi berkasih sayang sesama mereka. (Al-Fath: 29)."

Jiwa

Dalam ayat lain Allah menekankan jiwa kasih sayang Nabi s.a.w.:

"Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, sangat mengambil berat dia terhadap sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada kamu, amat sangat menginginkannya semua perkara yang baik bagi kamu dan kepada orang mukmin amat sayang baginda terhadap mereka. (At-Taubah: 128)."

Dalam ayat-ayat di atas, al-Quran menggunakan perkataan ‘Rauf’ dan ‘Rahim’ untuk menegaskan maksud kasih sayang yang menerasi keperibadian Nabi terutamanya dalam hubungan sesama golongan yang beriman. Dalam sesetengah tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir, ‘Rauf’ disebut sebagai ‘Shiddatur Rahmah’ atau kasih sayang yang mencapai tahap tertinggi berteraskan keimanan seutuhnya kepada Allah.

Ini bermakna kasih sayang dalam pengertian hubungan sesama umat diikat atas asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Malah perkataan Ar-Rauf dan Ar-Rahim merupakan sebahagian daripada nama Allah yang membawa makna Maha Pengasih dan Penyanyang.

Dalam menghuraikan perkataan ‘ruhamak’ atau kasih sayang dalam ayat 29 daripada surah Al-Fath, Ibn Abbas menjelaskan bahawa berkasih sayang dalam masyarakat juga bermakna sentiasa bersifat lemah lembut dan menjauhi perbuatan keras dan kasar. Ini kerana Allah sendiri apabila berfirman kepada Rasul-Nya turut menerangkan hubungan baginda dengan sahabat-sahabatnya:

"Maka dengan sebab rahmat Allahlah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. (Ali-Imran: 159)."
 
Sebab itulah dakwah Nabi s.a.w. bermula dengan menzahirkan budaya kasih sayang sebagai asas terpenting pembentukan umat Islam yang hebat. Malah aspek kasih sayang merupakan elemen terpenting yang memperkuat dan memperteguh umat Islam hingga mampu membina tamadun yang hebat.

Sebaliknya apabila nilai kasih sayang dipinggirkan sedang sifat benci dan dendam yang lebih membudaya dan mengakar, maka dengan sendirinya kekuatan umat Islam melebur. Sejarah membuktikan bagaimana tamadun Islam akhirnya hancur sama sekali lantaran serakah manusiawi yang membelakangi nilai kasih sayang sesama umat.

Persoalannya, apakah budaya kasih sayang masih membudaya dalam diri umat Islam Malaysia? Atau apakah dunia politik sedang mengalami krisis kekeringan makna dan kegersangan nilai kasih sayang hingga menggejalanya budaya dendam dan benci?

Hakikat yang sukar untuk dinafikan, budaya dendam dan benci masih kekal membarah dalam diri penggiat-penggiat parti politik. Malah kepentingan merebut kuasa sering kali menjadikan ahli-ahli parti hilang pertimbangan rasional. Ramai ahli politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita.

Perlakuan seumpama ini secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan. Pilihan raya umpamanya tidak lagi dijadikan alat, malah dalam banyak keadaan, sistem demokrasi pilihan raya dipertuhankan dengan harapan kuasa dapat dikecap dengan apa cara sekalipun.

Dengan menggejalanya budaya politik yang mengalami pendangkalan nilai dan etika, pastilah ia mudah menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati. Penyimpangan budaya politik ini jugalah yang sering membelakangi prinsip kasih sayang hingga menggejala budaya politik berasaskan kebencian pastinya mampu meleburkan perpaduan dan memporak-perandakan negara.

Justeru, kehidupan politik umat harus segera diselamatkan. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua percaturan.

Pemikiran yang diselaputi sentimen marah dan benci lantaran terlalu taksub berparti harus dijernihkan agar umat mampu kembali membudayakan nilai kasih sayang sesama mereka. Janganlah kerana perbezaan parti kita sanggup meruntuhkan kekuatan ukhuwah yang sedia terjalin. Jangan kerana taksub dengan pandangan dan ideologi parti kita menghancurkan prinsip Islam sejati.

Sesungguhnya maruah umat Islam hanya mampu ditebus apabila kita bersedia untuk melupakan perselisihan dan pertikaian demi agenda bangsa dan agama yang lebih besar. Harga dan nilai bangsa hanya mampu dimartabatkan apabila kita benar-benar menjiwai nilai dan prinsip Islam sekali gus membudayakan kasih sayang sebagaimana keperibadian junjungan.

Sikap sesetengah ahli politik yang suka mengambil kesempatan menyebabkan pilihan raya yang sepatutnya menjadi medan terbaik bagi memilih pemimpin terbaik tidak ubah seperti pentas opera yang sarat dengan adegan fantasi, dongengan dan tipu-daya.

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

No comments:

Post a Comment