Monday, December 27, 2010

Rosli Dhoby (2)

Rosli Dhoby telah ditahan di Sibu, Sarawak pada 3 Disember 1949 atas tuduhan membunuh Gabenor Sir Duncan Stewart dan seterusnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2 Mac 1950. Beliau ditahan dan menjalani hukuman tersebut bersama-sama Morshidi Sidek.

Kedua-kedua mereka merupakan anggota Kumpulan rukun 13, sebuah pertubuhan sulit yang di asaskan oleh Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS). Rukun 13 diketuai oleh Awang Rambli dan penubuhan kumpulan ini adalah untuk menentang dan menghapuskan sesiapa sahaja yang menyokong penyerahan pentadbiran Sarawak kepada Inggeris.

Peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart dan penangkapan Rosli Dhoby serta penahanan beberapa orang lagi anggota kumpulan 13 telah dianggap sebagai kemuncak perjuangan nasionalisme di Sarawak dalam menentang penjajahan Inggeris.

Sarawak berada dalam gelora gerakan anti penyerahan sejak Vyner Brooke mengisyhtiharkan untuk menjadikan Sarawak sebagai Crown Colony, sekaligus memperakukan bermulanya penjajahan Inggeris di negeri itu.

Ekoran daripada pengumuman yang dibuat pada 8 Februari 1946 ini, lahirlah beberapa pertubuhan anti penyerahan termasuklah PPMS. Pertubuhan ini dikatakan mempunyai 30 ribu orang ahli dan turut bekerjasama dengan pergerakan2 anti penyerahan Sarawak yang lain seperti Barisan Pemuda Sarawak yang berpusat di Kuching dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak.

Rukun 13 ditubuhkan di saat2 kegiatan pergerakan anti penyerahan mulai lemah oleh tindakan dan penindasan Inggeris. Kumpulan ini pada mulanya merancang ingin membunuh Sir Arden Clark, Gabenor pertama Inggeris di Sarawak. Rancangan ini gagal kerana Gabenor itu telah ditukarkan ke Nigeria.

Perhatian Rukun 13 kini beralih pula kepada pengganti Arden clark iaitu Duncan Stewart. Rosli Dhoby, seorang pelajar yang baru berusia 19 tahun pada ketika itu, telah ditugaskan untuk menikam Duncan Stewart dengan sebilah pisau. Gabenor yang malang itu mati seminggu kemudian.

No comments:

Post a Comment