ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Surah al-Anfal, ayat 74)
Peristiwa hijrah antara peristiwa yang besar kesannya dalam lipatan sejarah Islam. Pada peristiwa itu, umat Islam mustadh’afin di Makkah bersama Rasulullah SAW diperintahkan Allah berhijrah ke Madinah.
Walaupun berat hati dan kecintaan menebal terhadap kota Makkah, Baginda SAW berserta umat Islam yang setia dengannya tetap menjunjung titah perintah Ilahi tanpa berbelah bagi untuk membuka lembaran baru diari kehidupan umat Islam.
Menurut Imam al-Raghib Al-Asfahani, hijrah itu ialah keluar dari negeri kafir ke negeri iman, seperti sahabat yang berhijrah dari Makkah ke Madinah. Manakala Syeikh Muhammad Rasyid Ridha pula menyatakan, orang yang berhijrah dari sesuatu negeri ke negeri lain untuk mendapatkan keredaan Allah, menegakkan agama-Nya adalah kewajipan baginya.
Hijrah membuktikan keimanan faktor utama membentuk generasi manusia cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan pertahanan. Ini bererti Islam tidak menghalang umatnya membina kemajuan, tetapi perlulah bertunjangkan keimanan sebenarnya.
Atas dasar keimanan inilah, lahir dua kelompok manusia seiring mendapat penghargaan dan tempat istimewa di sisi Allah atas ketulusan pengorbanan serta pengabdian mereka. Dua kelompok itu diabadikan dengan istilah indah dalam al-Quran, iaitu Muhajirin dan Ansar.
Muhajirin orang yang dengan suka rela meninggalkan semua dimiliki demi menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya, sementara Ansar bersiap sedia menerima, membela, memberi perlindungan dan bantuan kepada orang berhijrah tanpa mengharapkan balasan selain pahala daripada Allah SWT.
Demikian gambaran hijrah Rasul bersama sahabatnya dalam konteks sejarah ayat yang ternyata sarat dengan nilai perjuangan, pengorbanan, keprihatinan terhadap sesama Muslim. Kesabaran dan ukhuwah mengatasi batas kekeluargaan kerana diikat ikatan akidah.
Nilai luhur bersifat sejagat ini sejajar sabda Rasulullah SAW mengenai hijrah bermaksud: “Tidak ada hijrah setelah pembebasan kota Makkah, tetapi jihad dan niat.” (Hadis riwayat Muslim)
Walaupun dalam kebanyakan ayat al-Quran berbicara mengenai hijrah dari segi maknanya, tetapi apabila diteliti ada ayat menegaskan keperluan jihad membawa maksud berubah dari satu keadaan menuju keadaan lebih baik.
Firman Allah bermaksud: “Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhan-Ku, sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26)
Justeru, semangat dan semarak hijrah tidak terhenti setakat itu saja, bahkan berterusan dalam diari kehidupan ummah selagi nyawa dikandung badan dan selagi bumi tidak mendekati titik noktah. Nilai dan pengajaran hijrah masih tetap relevan, kesediaan berkorban dan berjuang pada jalan Allah.
Nilai dan pengajaran hijrah yang turut membangun ikatan persaudaraan mengubah kedudukan Islam yang terus berkembang, memperlihatkan kemajuan dicapai hasil kesediaan meninggalkan perkara disayangi demi mencari kejayaan lebih baik.
Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin
Oleh: Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Sumber: http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment