SEBAGAI organ terbesar pada tubuh, kulit berperanan sebagai pelindung organ dalaman daripada anasir luaran seperti suhu terlalu tinggi, sinar ultra ungu, terik matahari dan bahan kimia berbahaya.
Kulit juga melindungi sistem dalam tubuh kerana sekiranya daya tahan tubuh rendah, anda mudah mendapat pelbagai masalah kulit termasuk ruam, alahan, kulit sensitif dan pelbagai lagi sehingga mampu memporak peranda sistem imunisasi tubuh.
Rata-rata masyarakat lebih berhati-hati menjaga pemakanan dan mengambil ringan penjagaan kesihatan kulit. Katakan jika terkena sebarang cecair, apa pun sisa atau anasir asing, maka alasan yang sering didengar lebih kurang berbunyi begini “apalah bahayanya sangat, sapu saja” walhal kulit mudah menyerap apa saja bahan, baik mahupun buruk.
Pakar Kecantikan Dr Alice Total Wellness Specialist, Dr Alice Prethima Michael, menjelaskan dari segi sifat, saiz purata kulit manusia dewasa dianggarkan separuh gelanggang tenis dengan berat 12 hingga 15 kilogram menjadikannya organ yang memerlukan pelbagai nutrisi untuk mengekalkan kesegaran, keanjalan dan kesihatannya.
“Selain bersifat menyerap, kulit sangat pintar dan paling reaktif berbanding organ lain, malah ia punya pertalian rapat dengan perut. Kerana itulah perkara yang bersifat imunologi seperti alahan dalam perut atau alahan makanan akan muncul pada kulit dalam bentuk jerawat dan jeragat.
“Kulit juga organ yang mudah gugup terutama ketika psikologi anda terganggu. Ia akan terpancar pada kulit dalam rupa rasa jengkel, tertekan atau risau kerana kulit banyak memberi tindak balas pada saraf yang dizahirkan oleh pemikiran kita,” katanya.
Katanya, antara masalah kulit paling lazim di negara ini selain jerawat dan jeragat adalah penuaan yang berlaku apabila kulit mula kehilangan serinya, menjadi kusam tidak bermaya dan bertompok.
Kulit yang muda akan kelihatan sangat anjal, teksturnya lembut, mudah pulih dan berseri. Keadaan ini mulai luntur apabila usia mula mencecah 30 tahun ke atas. Malangnya, ramai antara kita tidak mempedulikan keadaan ini malah lebih selesa bersikap menerima saja hakikat jam biologikal mereka sudah sampai pada hadnya.
Keduanya masalah pigmentasi yang dialami semua orang. Apa yang membezakannya adalah tahap serius pigmen pada kulit mengikut individu tertentu. Biasanya mereka berkulit cerah akan menghadapi masalah jeragat, manakala yang berkulit gelap akan mengalami warna kulit tidak sekata, lingkaran hitam di bawah mata dan mulut serta kulit bertompok.
Bagi mereka yang berhadapan masalah penuaan dan menopaus misalnya, kulit akan kelihatan bertompok seperti rama-rama dan juga melasma.
Ketiga, masalah kedutan pada wajah kini bukan saja dihadapi golongan lebih berusia, tetapi juga kumpulan usia lebih muda. Ini berlaku akibat kurangnya keanjalan pada kulit. Apabila kita senyum, ketawa dan bercakap terlalu banyak, ia memerlukan aktiviti otot yang kerap.
Namun apabila kulit hilang keanjalan, kepejalan, keremajaan kulit turut hilang. Jadi akibat sel kulit melalui pelbagai perubahan di peringkat dalaman, bahagian luaran tampil berkedut. Keadaan ini lebih jelas sewaktu anda tersenyum di mana garis kedutan itu lama-kelamaan akan kekal walaupun ketika anda tidak senyum.
Keempat, kulit kendur akan menyusul selepas kedutan dan ia boleh berlaku akibat proses kehamilan, bersalin, diet ketat, pembedahan mahupun penurunan berat badan secara mendadak dan kekurangan hormon. Ia boleh menyebabkan anda kelihatan tidak bermaya dan tua sebelum waktunya.
INFO: Panduan Dr Alice untuk menjaga dan menguruskan masalah kulit.
- Lakukannya dengan cara berilmu dan teratur.
- Jangan mudah terpedaya dengan pakej pusat rawatan kecantikan.
- Dapatkan rawatan di pusat bertauliah, kikis persepsi khidmat pakar rawatan kecantikan bertauliah adalah mahal.
- Rawatan di pusat bertauliah hanya diberikan selepas pemeriksaan rapi dan menilai keadaan kesihatan semasa pesakit.
- Jika mahu mencuba teknologi baru atau kaedah rawatan terkini di pusat rawatan kecantikan, pastikan kandungan bahan atau produk diluluskan badan bertauliah seperti Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS (FDA).
Fakta kulit dan tubuh manusia
- Seluruh permukaan kulit luar diganti setiap empat minggu.
- Rambut atau bulu pada manusia berjumlah lebih 20 juta helai dan lebih banyak dari kera atau monyet.
- Rambut atau bulu pada manusia tidak nampak banyak kerana lebih pendek dan lebih nipis daripada bulu pada kera.
- Tubuh manusia memiliki sekitar tiga juta kelenjar peluh.
- Tubuh yang aktif dalam cuaca panas dapat mengeluarkan dua hingga tiga liter peluh sehari.
suzan@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment