Tuesday, December 14, 2010

Jin

Jin merupakan makhluk alam ghaib yang berakal, berkehendak, sedar dan ada kewajipan. Ia berjasad halus dan hidup bersama-sama manusia di dunia ini. Jin telah tercipta terlebih dahulu sebelum Allah mencipta manusia. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami mencipta jin sebelum itu, daripada api yang sangat panas. “ (Al-Hijr: 26-27)

Di dalam sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim dari ‘Urwah, dari Aisyah bahawa Rasulullah telah bersabda:

“Malaikat diciptakan dari cahaya dan jin diciptakan dari nyalaan api (maarij) dan Adam diciptaakan daripada sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu semua.”

Api mengandungi bahan yang menyebabkan ia menjadi ringan dan terdiri dari campuran berbagai-bagai warna. Oleh itu makhluk yang tercipta daripadanya juga turut memiliki berbagai-bagai warna serta kemampuan memanjang dan meninggi. Sebagaimana jasad manusia yang tidak lagi berbentuk tanah maka begitu jugalah dengan jin yang tidak lagi dalam bentuk aasal sebagai api. Allah mewujudkannya kepada satu benda lalu dikembangkan menjadi bentuk dan organ-organ tubuh. Kemudian ditiupkan roh supaya ia menjadi makhluk yang cerdas, berakal dan memiliki kebebasan membuat pilihan. Demikianlah kekuasaan Allah swt yang telah mengubah keadaan asal jin dari api kepada sesuatu yang berjasad dan bernyawa, ringan dan lembut.

Jumlah jin sangat banyak dan tidak dapat dibayangi kehidupan manusia. Ia menempati semua tempat di muka bumi (daratan, lautan dan udara). Terdapt jin-jin yang mendiami rumah-rumah yang kosong yang tidak lagi dihuni manusia dan ia juga turut mendiami rumah yang memangnya ada manusia di dalamnya. Jin terdiri dari berbagai-bagai jenis, bangsa yang berbeza-beza an umat yang sungguh banyak. Jin juga memiliki berbagai-bagai rupa, warna dan bentuk. Ada yang kecil dan ada yang besar, ada yang hodoh dan ada juga yang cantik.

Jin memiliki negara, kerajaan, bangsa, penguasa dan rakyat jelata seperti manusia. Agama yang mereka anuti sama seperti manusia juga. Dikalangan mereka ada yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Penyembah Berhala dan Sebagainya. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya antara kami terdapt jin-jin yang taat dan juga jin-jin yang menyimpang dari kebenaran. Barang sesiapa yang taat, maka mereka itu benar-benar memilih jalan yang lurus. Adapun jin-jin yang menyimpang daripada kebenaran maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam.” (Al-Jinn: 14-15)
 

Allah juga menetapkan buat golongan jin ini syurga dan neraka. Firman Allah bermaksud:

“Mereka itulah orang-orang yang telah ditetapkan (untuk mengalami seksa) antara umat-umat terdahulu sebelum mereka daripada golongan jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang rugi.” ... “Dan bagi masing-masing diberi darjat sesuai dengan apa yang mereka kerjakan dari apa yang mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka sedangkan meeka tiada dirugikan.’ (Al-Ahqaf: 18-19)

No comments:

Post a Comment