Friday, December 24, 2010

SUMBER PENDIDIKAN

Pengenalan

Kualiti proses pengajaran dan pembelajaran (PNP) dapat ditingkatkan melalui penggunaan sumber pendidikan yang baik, memudahkan pembelajaran dan menarik minat murid. Penggunaan sumber pendidikan secara terancang dan teratur akan menjadikan proses PNP lebih bermakna dan berkesan, membantu guru menerangkan sesuatu konsep dengan lebih mudah dan menarik serta membantu murid memahami perkara yang dipelajari dan seterusnya berkemahiran mengurus pembelajaran mereka secara proaktif dan bertanggungjawab.

Justeru, guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknologi pendidikan supaya dapat memilih, mengurus, mengguna dan menilai sumber pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan PNP. Teknologi Pendidikan merupakan satu bidang dan amalan etika yang praktikkan untuk memudahcara dan meningkatkan keberkesanan PNP melalui penghasilan, penggunaan dan pengurusan sumber pendidikan dan proses teknologi yang sesuai.

Ciri-ciri Sumber Pendidikan yang Berkesan
  • Membantu guru dan murid menjalani proses PNP dengan lebih berkesan
  • Penggunaan sumber pendidikan dirancang dalam tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas

  • Sumber pendidikan memenuhi keperluan kurikulum untuk mencapai objektif dan peringkat perkembangan PNP
  • Sumber pendidikan dipilih berdasarkan kos, masa dan teknologi yang sesuai untuk mengoptimum PNP
  • Sumber pendidikan dipilih berdasarkan kesesuaiannya dari segi topik dan objektif PNP, latar belakang dan strategi pembelajaran murid, saiz kelas dan keadaan fizikal bilik darjah
  • Sumber pendidikan yang dipilih menarik minat murid serta mengayakan pengetahuan dan pengalaman murid

Kepentingan Sumber Pendidikan dalam PNP


Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences) oleh Howard Gardner (1983) menyatakan bahawa setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan (intelligences) merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat atau kemahiran yang wujud secara semulajadi. Gardner menjelaskan bahawa setiap kecerdasan adalah berasingan dan tidak saling bergantung - seseorang mungkin lemah dalam sesuatu bidang kemahiran tetapi cemerlang dalam domain (bidang kecerdasan) yang lain. Menurut beliau lagi, setiap individu mempunyai kelapan-lapan kecerdasan tetapi pada darjah atau kadar yang berbeza-beza dari segi kekuatan dan kemahiran. Kecerdasan tersebut boleh dikembangkan menerusi pendidikan, pengalaman dan persekitaran.

Pengurusan Sumber Pendidikan

Secara umumnya, Sumber Pendidikan terdiri daripada dua jenis media iaitu bahan cetak dan bukan cetak. Kementerian Pelajaran Malaysia memperuntukkan sejumlah wang bagi meningkatkan koleksi Sumber Pendidikan melalui per capita grant (PCG) dan sumber kewangan tambahan setiap tahun. Justeru, Sumber Pendidikan ini perlu diurus dengan baik, efisien dan sistematik bagi memudahkan akses dan penggunaan oleh guru dan murid dalam mempertingkatkan kualiti P&P.

Kemudahan bagi menempatkan pelbagai jenis dan format Sumber Pendidikan turut diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, antaranya:
  • Pusat Sumber Sekolah (Bilik Perpustakaan, Bilik Media, Bilik Bahan Bantu Mengajar)
  • Pusat Akses Sekolah
  • Makmal Komputer
  • Selain itu, sekolah-sekolah yang proaktif mewujudkan kemudahan dan Sumber Pendidikan tambahan seperti Bilik Sumber Mata Pelajaran, Bilik / Ruang Akses Kendiri, Laluan Ilmu, Taman Ilmu dan sebagainya yang dapat menjadikan suasana pembelajaran lebih kondusif, menarik dan bermakna kepada murid.

Sumber Pendidikan Berteknologi Tinggi

Menjelang abad ke-21, perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mengubah lanskap pendidikan di Malaysia. Dengan wujudnya Sekolah Bestari pada tahun 1997, penekanan diberikan kepada Sumber Pendidikan berteknologi tinggi agar pengetahuan dan kemahiran murid adalah seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya saing (k-economy).

Pembelajaran berasaskan Sumber Pendidikan berteknologi tinggi merujuk kepada pewujudan dan penyediaan kemudahan resos dan peralatan seperti perkakasan, perisian, dan rangkaian Internet kepada semua warga sekolah yang ingin mendapatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai sama ada melalui proses PNP secara formal atau secara kendiri. Pembelajaran berasaskan sumber pendidikan berteknologi tinggi pada dasarnya dapat dilaksanakan merentas sempadan dan masa dengan adanya peralatan digital berbentuk maya.

Perkembangan pesat berbilion-bilion maklumat dan Sumber Pendidikan di Internet menyukarkan carian dan penilaian Sumber Pendidikan yang berkualiti dan sesuai dengan murid. Pengurusan Sumber Pendidikan yang berkesan, sistematik dan efisien perlu dititik berat dan ditingkatkan. Murid juga perlu diberi pendedahan Kemahiran Abad Ke-21 (21st Century Skills) dan Literasi Maklumat (Information Literacy) supaya mereka mampu mengenal pasti, mencari, menilai dan mengguna maklumat secara berkesan dan efisien.

Oleh: Fadzliaton Zainudin
Sumber: http://bibliografi.moe.edu.my/SumberPendidikan/

No comments:

Post a Comment