Motivasi yang tidak ada tolok bandingannya dalam kita berusaha memperoleh tiket meraih syurga Firdaus, iaitu manusia perlulah beriman dan memenuhi tujuh perkara berikut:
- Khusyuk dalam solat
- Menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia
- Menunaikan zakat
- Menjaga kemaluan
- Memelihara amanah-amanah yang dipikul
- Memegang janji dan
- Memelihara solat.
Namun pernahkah kita bayangkan jika sekiranya syurga dan neraka itu tidak ada? Adakah manusia mahu sujud kepada Allah? Barangkali wajar kita kemukakan pertanyaan ini.
Ini kerana ramai manusia di atas muka bumi ini yang beribadat kepada Allah kerana menginginkan syurga dan takutkan neraka.
Syurga dan neraka ibarat hitam putih kehidupan yang menunjukkan kebaikan dan keburukan. Kehidupan setiap manusia berakhir sama ada di syurga ataupun di neraka.
Ibnu Umar melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia, diperlihatkan kepadanya di waktu pagi dan petang tempat tinggalnya nanti iaitu neraka ataupun syurga dan dikatakan kepadanya, "Inilah tempat tinggal engkau, kelak engkau dihantar ke sana." (riwayat Imam Bukhari)
Namun sejauh manakah kita memanfaatkan dan menghayati erti syurga dan neraka yang sebenar. Adakah semata-mata kerana ganjaran syurga dan takut pada seksaan api neraka, kita tunduk patuh kepada perintah
Allah atau disebabkan keikhlasan kita sebagai hamba-Nya yang beriman.
Buku Andai Syurga & Neraka Tidak Ada cuba membicarakan tentang hakikat ibadah dalam kehidupan seorang Muslim.
Buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. pastinya menguji sejauh mana kita menginginkan ganjaran syurga dan neraka. Ia juga menyingkap hikmah di sebalik semua peristiwa yang berlaku di sekeliling kita melalui amalan-amalan yang kita lakukan.
Lantaran itu, keinginan dan kesungguhan dalam melakukan ibadah perlu berlandaskan keikhlasan tanpa mengharapkan balasan.
Dalam buku ini juga, ada merangkumi kisah ahli syurga, nikmat-nikmat syurga, azab neraka serta panduan mempersiapkan diri menjadi orang berakhlak mulia. Malah ia turut menjawab persoalan-persoalan mengenai ahli syurga dan siapakah yang mendapat ganjaran syurga.
Bersamalah kita singkap hikmah dan tauladan di sebalik andaian sekiranya syurga dan neraka tidak ada sebagai landasan bagi sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat.
Oleh: ZUARIDA MOHYIN
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment