Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Alam ini terasa indah kerana Allah menciptakannya berpasang-pasangan. Ada siang, ada malam. Ada tempat yang subur, ada pula tandus. Ada gunung-ganang tinggi tapi ada juga lembah dan lurah yang dalam.
Ada lelaki dan ada pula perempuan. Allah menciptakan pasangan untuk manusia supaya mereka dapat hidup seiring sejalan, berkongsi suka duka serta tetap bersama melayari kehidupan demi mencapai matlamat membina keluarga sakinah di bawah naungan keredaan Ilahi. Perlu ditegaskan bahawa dalam al-Quran, jalinan perkahwinan disebut Allah sebagai satu perjanjian yang sangat berat tanggungjawabnya. Jelas di sini Allah dan Rasul-Nya melarang umatnya mempermainkan persoalan nikah kahwin, apatah lagi untuk dijadikan isu atau modal dalam gurauan.
Malah, Islam juga melarang pernikahan bersifat kontrak atau sementara kerana ikatan pernikahan adalah jalinan perhubungan antara lelaki dan wanita yang berlangsung sepanjang hayat, bukannya untuk tempoh lima belas minit, sebulan atau empat bulan.
Maksud ayat di atas jelas mengungkapkan beberapa persoalan penting yang wajar dihayati dan difahami untuk dijadikan pedoman bagi pasangan muda yang hendak menjejakkan kaki ke alam perkahwinan.
Persoalan pertama ialah bahagianya atau tidak, berkatnya atau tidak sesebuah rumah tangga banyak bergantung kepada niat awal. Justeru, niat tidak benar dan keji hanya akan menyebabkan rumah tangga dibina jauh daripada keberkatan Ilahi, malah terkandas di pertengahan jalan.
Sebaliknya, institusi rumah tangga yang dibangunkan atas dasar niat yang suci dan tujuan benar iaitu untuk memelihara kehormatan diri daripada terjebak ke jurang perzinaan di samping untuk mengukuhkan jalinan silaturahim sesama Muslim, nescaya keberkatan Ilahi dan kebahagiaan hidup dapat diraih bersama pasangan.
Oleh sebab itu, faktor keagamaan adalah faktor penting dalam konteks pembinaan sebuah keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang beragama, nescaya kamu akan beruntung.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam kata lain, Allah akan menurunkan rahmat dalam satu keluarga apabila keluarga itu dibina atas niat mencari keredaan Allah. Oleh sebab itu, dalam proses membina satu rumah tangga, Rasulullah menganjurkan supaya agama menjadi keutamaan.
Dalam keluarga Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu ibadah yang bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang salih.
Keluarga yang salih ini akan melahirkan masyarakat salih dan menjadi asas bagi negara yang salih, bertamadun dan berwawasan.
Selain ketenangan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah dalam hati suami isteri. Prof Hamka berkata, mawaddah dan rahmah adalah rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan tidak bertepi dan ketenangan tidak terbatas.
Di sini dapat disimpulkan bahawa pembentukan rumah tangga dibina atas dasar cinta dan kasih sayang suci akan mententeramkan jiwa dan ruh dalam kehidupan Muslim. Tiada contoh paling tepat selain rumah tangga Rasulullah SAW bersama Saidatina Khadijah yang sentiasa memberi sokongan padu kepada suaminya terutama ketika berhadapan cabaran.
Akhirnya, anak yang dibentuk dalam suasana mawaddah dan rahmah ini akan menghasilkan peribadi bahagia, yakin diri, tenteram, berkasih sayang serta jauh daripada gangguan emosi serta penyakit batin yang melemahkan peribadi.
Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin
Sumber: http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment