Thursday, December 9, 2010

Riak

Wahai hamba-hamba Allah! Ingatlah bahawa hari-harimu yang tinggal hanya sedikit lagi, dan hari-harimu yang akan datang amat panjang dan sangat dibimbangi. Ambil i’tibarlah dari hal orang-orang yang terdahulu darimu itu! Dan sedarlah sebelum tiba hari keberangkatanmu. Bukankah anda sudah yakin bahawa anda akan berangkat juga nanti? Mengapa tidak menyediakan diri dari sekarang dan membuat bekal sekali?
Wahai orang sedang tenggelam timbul di dalam lautan hawa nafsu! Bilakah anda akan tiba di pantai yang selamat itu? Sudahkah anda bangun dari tidurmu untuk menimbang nasihatku. Bangunalah malam untuk mengabdikan diri kepada Tuhanmu. Kerap-keraplah tangisi dirimu. Sesalilah atas semua kelakuanmu, yang banyak di antaranya tidak menentu.
Alangkah bodohnya si lalai alpa ini! Sudah tua masih berkelakuan curang begini. Kepada Tuhan tidak pernah berbakti. Di atas urusan hawa nafsu terus menuruti. Kalau beginilah, apa yang akan terjadi. Tidak takutkah dia bila masuk kubur nanti. Berbagai-bagai bahaya akan menanti. Tidak akan tertolong oleh sesiapa pun lagi. Tinggallah dia meringkuk di sana seorang diri. Menanggung seksa yang amat dahsyat sekali
 
Wahai orang yang membanggakan diri!
Jangan terpedaya dengan besarmu kini!
Dunia ini adalah tempat tinggal
Untuk menanam bekalan yang kekal
Esok tempatmu di dalam Lubang
Sempit pula panas dan bahang
Memadailah dengan dunia yang serba ada
Makanan sedikit pakaian yang tua
Pondok yang kecil tempat perlindungan
Akhirat gantinya tempat bersenang

Oleh: Al-Hafizh Muhammad bin Ahmad

No comments:

Post a Comment