BAGI seorang Muslim, solat adalah kewajipan utama yang wajib ditunaikan kerana perintah mengerjakan solat jelas terdapat dalam al-Quran dan sunnah.
Dalam al-Quran disebut bahawa solat berupaya mencegah seorang itu daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Allah berfirman yang bermaksud: “...Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); ...” (Surah al-’Ankabut ayat 45).
Antara sebabnya ialah solat sentiasa mengingati kita kepada Allah. Mereka yang sentiasa mengingati Allah akan menjauhi kejahatan dan maksiat.
Hanya mereka yang lupa kepada Allah dan ajarannya akan melakukan sesuatu yang dilarang Allah. Sekiranya masih melakukan maksiat, ia tanda solat masih belum sempurna dan mungkin ditolak Allah.
Seorang Muslim hendaklah sentiasa berusaha memperbaiki amalan solatnya supaya penuh khusyuk.
Allah berfirman, maksudnya:
“Sesungguhnya berjaya orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Al-Mukminun: 1-3)
No comments:
Post a Comment