Monday, December 27, 2010

Rosli Dhobi (1): Inilah Perjuang Bangsa dan Islam

Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.

Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British mati di tali gantung pada 2 Februari, 1950.

Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British kedua Sarawak Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember, 1949.1 Mac, 1950.

Anak muda Melanau yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah British swasta, keluarga Sir Charles Vyner Brooke yang kalah di tangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.

Sarawak dikuasai oleh penjajah swasta British Sir James Brooke pada tahun 1842. Keluarga Brooke, iaitu Sir James, anak saudaranya Sir Charles, dan anak Sir Charles iaitu Sir Charles Vyner, memerintah Sarawak dari tahun 1842 sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Brunei dan Melanau Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu Perdana Menteri Sarawak di zaman Sir Charles Vyner.

Sebelum keluarga Brooke menguasai Sarawak, keluarga Abang Abdillah adalah pemerintah Sarawak dan wakil Sultan Brunei, pengasas negeri Sarawak.

Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka.

Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala agen penjajah itu melawat Sibu pada Disember 3, 1949.

Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dipanggil Badik.

Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”

Rosli dan rakannya yang juga berketurunan Melanau, Morsidi Sidik, kedua-duanya ditangkap oleh polis British.

Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Pegawai British itu meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morsidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong, yang juga berketurunan Melanau, telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching.

Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan.

Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor (kawan mereka yang juga berketurunan Melanau).

Ini ialah surat terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sehari sebelum digantung:

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.
  1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.
  2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.
  3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.
  4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.
  5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.
  6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.
  7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.
  8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal. 
Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby

Sumber: http://hasfazanizam.wordpress.com/

1 comment: