Thursday, December 23, 2010

Pujuk Ibu Peluk Islam

ABU Hurairah atau nama Islamnya, Abdul Rahman, dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Beliau berasal daripada kabilah al-Dusi yang tinggal di Yaman adalah pelopor hadis yang terkenal. Selama hidupnya, Abu Hurairah melaporkan sebanyak 5,374 hadis.

Gelaran Abu Hurairah diberi oleh Nabi Muhammad kepadanya kerana beliau suka bermain anak kucing.
Menurut cerita, semasa Abu Hurairah berjumpa Nabi SAW, beliau membawa bersama seekor anak kucing. Anak kucing itu disorokkan di dalam lengan bajunya.

Apabila ditanya oleh Nabi Muhammad mengenai hal itu, Abu Hurairah segera mengeluarkan seekor anak kucing yang berada dalam lengan bajunya. Bermula pada hari itu, Nabi Muhammad menggelarnya Abu Hurairah. Beliau suka gelaran itu.

Semasa hidupnya, Abu Hurairah tergolong sebagai ahli suffah. Ia adalah golongan yang miskin yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau penuntut ilmu. Mereka juga penghuni yang tinggal di Masjid Nabawi. Nabi Muhammad selalu menyuruh Abu Hurairah mengumpul ahli suffah lain apabila ada makanan yang mahu diberikan kepada mereka.

Abu Hurairah memeluk Islam pada 7 Hijrah, semasa Nabi Muhammad berangkat pergi ke Khaibar. Abu Hurairah meninggal dunia pada 57 atau 58 Hijrah iaitu pada usia 78 tahun. Beliau meninggal dunia di kota Madinah.

Walaupun Abu Hurairah sudah memeluk agama Islam, beliau masih bimbang mengenai ibunya sendiri. Pada masa itu, ibunya masih belum dapat menerima ajaran Islam.

"Ibu, sekarang saya sudah menjadi orang Islam. Mahukah ibu ikut jejak langkah saya sebagai seorang Islam?" Tanya Abu Hurairah kepada ibunya.

"Ibu tetap dengan agama nenek moyang kita. Ibu tidak mahu ajaran Nabi Muhammad yang sesat itu dibawa ke rumah ini. Nabi Muhammad memesongkan fikiran kamu. Beliau menyesatkan kamu. Semua ajaran-ajaran yang dibawanya adalah sesat," kata ibunya selepas menolak ajakan Abu Hurairah supaya memeluk agama Islam.

Selepas Abu Hurairah mendengar kata-kata ibunya, beliau cuba mempertahankannya: "Tidak. Ajaran Nabi Muhammad adalah ajaran dan ilmu-ilmu yang diberikan oleh Allah kepadanya. Nabi Muhammad tidak mengajar ajaran yang salah kecuali semuanya adalah ajaran yang baik bagi kita. Ibu silap, ibu perlu mendengar ajarannya dahulu."

"Tidak . Kamu jangat sebut lagi nama Muhammad di hadapan ibu. Ibu tidak suka!" jawab ibunya dengan suara yang tinggi.

Kemudian, Abu Hurairah dengan sedih terus keluar dari rumahnya dan berjumpa Nabi Muhammad. Sampai sahaja di hadapan Nabi Muhammad, Abu Hurairah menceritakan kisahnya bersama ibunya tadi: "Hari ini sekali lagi saya cuba memujuk mengajak ibu saya memeluk Islam. Tetapi ibu saya menolak dan mengeluarkan kata-kata yang kesat kepada Nabi Muhammad. Saya tidak dapat menahan kesedihan atas perbuatan ibu saya. Tolonglah Rasulullah doakan supaya ibu saya terbuka hatinya menerima ajaran Islam dan memeluk agama ini."

Melihat kesedihan Abu Hurairah, Nabi Muhammad terus berdoa kepada Allah: "Ya Allah, bukakanlah pintu hati ibu Abu Hurairah, semoga beliau dapat menerima ajaran ini. Berilah petunjuk kepada ibunya."

Selepas Nabi Muhammad selesai berdoa, Abu Hurairah segera pulang mendapatkan ibunya di rumah. Sampai sahaja di rumah Abu Hurairah mendapati pintu rumahnya tetutup rapat. Ibunya mengetahui anaknya sudah pulang, lalu ibunya memberitahu, "Tunggu sebentar. Nanti, ibu bukakan pintu itu". Rupa-rupanya, ibu Abu Hurairah mandi.

Selesai sahaja mandi, segera ibunya membuka pintu. Diizinkan Allah, doa Nabi Muhammad termakbul. Ibunya sendiri berubah dan mahu mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Abu Hurairah.

"Aku naik saksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah," kata ibunya di hadapan Abu Hurairah.

Melihat peristiwa itu, Abu Hurairah berasa terharu dan gembira. Beliau terus berjumpa Nabi Muhammad dan memberitahu perkara yang terjadi. Nabi Muhammad tersenyum dan bersabda: "Syukur kepada Allah kerana memperkenankan doa tadi. Mulai hari ini, ibu kamu adalah orang Islam."

Petikan daripada buku Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment