Thursday, December 2, 2010

Khadijah Rasai Belas Kasihan Allah


SESUATU yang agak pelik dan jarang berlaku apabila seorang yang dikategorikan pengikut agama Kristian yang warak, berlatar belakang keluarga yang kuat mempraktikkan agama itu, dilahirkan dan dibesarkan di bahagian tengah Amerika Syarikat (AS), malah langsung tidak mengetahui agama Islam, apatah lagi mengenali seorang Muslim sehinggalah pada usia 40-an, akhirnya memeluk Islam.

Inilah yang dikatakan 'sentuhan' kasih sayang Allah SWT, kepada-Nyalah segala pujian diberi.

Inilah kisah penghijrahan akidah Khadijah Jandhli, rakyat AS kelahiran Oklahoma. Katanya, keluarganya akan ke gereja sekurang-kurang tiga kali seminggu. Malah, dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang amat menekankan aspek ketinggian moral seperti tidak merokok, minum arak, mengambil dadah dan tidak mengadakan seks sebelum berkahwin secara sah. Malah Khadijah mampu menghafal hampir keseluruhan isi kandungan kitab Injil.

"Datuk dan nenek saya adalah pengkhutbah. Saya dikurniakan dengan suara yang merdu dan pada usia 14 tahun, saya dibayar oleh pihak gereja untuk menyanyi sambil bermain piano serta bertanggungjawab ke atas kumpulan koir kanak-kanak.

"Malah sebenarnya, kali pertama saya mendengar mengenai Islam dan mengenali individu Muslim iaitu ketika di sebuah universiti, pada usia saya 49 tahun dan masih aktif di gereja.

"Sepanjang hidup, saya gambarkan diri saya seorang yang suka mengajukan soalan. Boleh dikatakan pelbagai tajuk bacaan yang terdapat di perpustakaan telah saya baca. Asbab daripada ini jugalah yang memungkinkan kepada penemuan saya kepada kebenaran Islam," akui Khadijah yang pernah beberapa kali berkahwin dan melahirkan anak.

Selepas perceraian kali kedua, kawan dan keluarga mencadangkannya melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Universiti Tulsa, yang terletak berhampiran kediamannya.

"Ketika di universiti, saya berpeluang berkenalan dengan ramai orang dari seluruh dunia dan meneruskan dunia pembacaan yang terhenti sekian lama. Saat itulah, saya terbaca tentang Muhammad SAW dan agama yang dibawanya.

"Di universiti, saya mula memberi kelas tutorial kepada atlet kolej dan tidak lama kemudian, lebih ramai pelajar dari kolej lain yang memintanya membuat kelas tutorial terutamanya subjek penulisan.

"Ketika inilah, saya mengenali kira-kira 90 pelajar Muslimah dari Malaysia. Saya mula tertarik dengan budi pekerti, layanan, kesopanan dan cara mereka meminta izin keluar kelas untuk solat. Terdetik di dalam hati, tentu ini semua ada kaitan dengan pegangan agama mereka.

"Bukan itu sahaja, saya juga tertarik dengan pemakaian mereka, apatah lagi dengan tudung kepala. Sangkaan saya, itu semua berkaitan dengan kebudayaan. Sedangkan hakikatnya, itulah caranya Allah melindungi kaum wanita Islam," ceritanya lagi.

Beberapa tahun kebelakangan, Khadijah seringkali mengalami migrain yang sangat teruk sehingga dia terpaksa mengambil pelbagai ubatan penahan sakit.

Acap kali mengalami serangan, Khadijah hanya akan menghabiskan masanya di atas katil dan sehingga ke peringkat dia tidak berdaya lagi ke sekolah.

Menurut Khadijah, pada waktu inilah kumpulan pelajar wanita dari Malaysia ini akan bergilir-gilir menjaganya siang dan malam. Keikhlasan yang dipamerkan mereka begitu menyentuh hati kecil Khadijah. Apa lagi tidak seorangpun ahli keluarga mahupun ahli gereja yang datang menjenguknya, waima jarak rumah dengan gereja itu hanya seberang jalan.

Penderitaan yang ditanggung selama dua tahun bagai sudah jatuh ditimpa tangga, apabila dia hilang sumber pendapatan dan kemudian dianggap bebanan oleh anak dan keluarga.

Penolakan demi penolakan ini menghancur dan mengguris hatinya sehinggalah dia meminta Amina, salah seorang daripada pelajar Malaysia untuk menerangkan tentang agama Islam.

"Amina memperkenalkan saya kepada Mahmoud (dari Oman). Kemudian saya berkenalan pula dengan Saif (dari Yemen). Mereka berdua menjawab semua soalan yang saya utarakan dan gantinya saya mengajar mereka penulisan. Kemudian, murid saya bertambah kepada Tariq dan Khalid (dari Oman) dan Yousif (dari UAE). Uniknya, tingkah laku dan budi pekerti pelajar lelaki ini sama seperti pelajar wanita yang saya kenali dari Malaysia itu.

"Oleh kerana sentiasa teruja untuk belajar sesuatu yang baru, saya meminta Saif untuk mencarikan bahan bacaan berkaitan Islam. Dia membawakan saya buku karangan Jamal Badawis, The Status of Women in Islam dan beberapa salinan hadis berikaitan kedudukan dan hak wanita di dalam agama Islam.

"Saya juga pernah bertanyakan kepada Saif mengenai kitab al-Quran. Kemudian dia membawakan saya kitab al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris."

Sejak itu jugalah kata Khadijah, sukar baginya melepaskan kitab al-Quran meskipun untuk tempoh yang singkat.

"Walaupun saya sekadar membaca terjemahan daripada maksud kata-kata Allah itu, tetapi kecantikan kata-kata Allah daripada bahasa Arab itu menjadi semakin jelas kepadanya.

Kesakitan disebabkan daripada migrain bagai tidak terasa kerana keasyikan Khadijah dengan kitab al-Quran itu. Biarpun belenggu penyiksaan itu masih ada tetapi keindahan kata-kata Allah itu, mengatasi segalanya.

Oleh: Zuarida Mohyin
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment