Semasa pendudukan Jepun antara tahun 1942 dan 1945, semua sekolah ditutup kecuali beberapa buah yang diperlukan untuk mengajar bahasa Jepun. Namun demikian, dengan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946, Laporan Cheeseman diterima untuk membentuk dasar pendidikan baru. Ia tidak dapat dilaksanakan kerana kerja-kerja pemulihan yang dijalankan selepas pemerintahan Jepun.
Sebelum kemerdekaan pada tahun 1957, tidak ada keseragaman pendidikan di Tanah Melayu. Pada tahun 1951, Laporan Barnes dikeluarkan. Laporan ini mencadangkan supaya dua jenis sekolah diteruskan, iaitu sekolah Melayu dan sekolah Inggeris. Laporan ini menimbulkan banyak bantahan daripada komuniti Cina. Melalui Laporan Fenn-Wu, mereka mencadangkan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina. Namun demikian, murid-murid juga boleh belajar bahasa Melayu dan Inggeris. Ekoran itu, suatu Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk menangani perbezaan syor kedua-dua laporan tersebut. Laporan Jawatankuasa Khas diluluskan dan akan dilaksanakan di bawah Ordinan Pelajaran 1952. Malangnya, cadangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana faktor kewangan.
Pada tahun 1956 pula, Laporan Razak diumumkan. Laporan itu mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan pada masa yang sama, juga menerima bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular masing-masing. Di samping itu, beberapa program latihan perguruan juga dirancang. Selain Maktab Perguruan Sultan Idris, Maktab Perguruan Kota Bahru juga ditubuhkan pada tahun 1954 untuk guru-guru bahasa Melayu. Kerajaan juga telah menghantar guru-guru pelatih ke Kirby Teachers College (1951) dan Brinsford Lodge Teachers College (1955) di England.
No comments:
Post a Comment