Kesahan kandungan pada asasnya melibatkan pemeriksaan sistematik ke atas kandungan ujian untuk menentukan sama ada kandungan ujian itu terbentuk daripada sampel yang mewakili perkara yang hendak diukur atau diuji. Prosedur kesahan kandungan ini lazimnya digunakan dalam menilai ujian pencapaian.
Ujian ini dibina dan direkabentuk bagi mengukur sejauh mana seseorang sudah menguasai pengetahuan atau kemahiran tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang diajar. Untuk tujuan ini, perkara yang hendak ditaksir (konstruk) hendaklah dikenal pasti daripada keseluruhan butiran yang disoal berdasarkan kandungan mata pelajaran yang diajar. Ujian yang hendak ditadbir itu mestilah dianalisis dengan sistematik bagi memastikan kesahan dari segi kecakupan dan relevansi yang diambil kira semasa pembinaannya. Ini perlu bagi memastikan konstruk yang diuji dengan menggunakan item tersebut dan dapat mewakili setiap aspek penting pelajaran yang diajar dicakupi dalam nisbas yang betul. Sebagai contoh komposisi butiran dalam satu ujian akan menjadi tidak seimbang jika butiran yang dimasukkan ke dalam ujian itu terdiri daripada butiran yang dipilih dan diambil terus daripada buku teks atau daripada ujian tahun lepas. Situasi itu tidak sepatutnya berlaku.
Pembinaan ujian sepatutnya memperihalkan konstruk yang akan diuji itu terlebih dahulu, bukan selepas menyediakan set-set item untuk dijadikan ujian. Bagi ujian pencapaian yang direkabentuk dan dibina dengan baik sepatutnya mencakupi objektif pengajaran yang dirancang dalam tajuk-tajuk pelajaran yang sudah dipelajari. Objektif dirancang dengan memasukkan pelbagai konstruk yang sesuai dan bilangan item yang sesuai untuk menggambarkan penguasaan konstruk itu dalam tajuk tersebut. Oleh itu, kesahan kandungan ujian bergantung kepada relevansi atau kesesuaian tingkahlaku yang diperhatiakan/diketahui oleh penilai dan kecukup-cakupan ujian itu untuk membolehkan skor ujian menggambarkan prestasi calon dalam perkara yang ditaksir.
Pada peringkat permulaan pembinaan ujian, pembina perlu memilih butiran yang sesuai dalam usaha mewujudkan kesahan kandungan. Usaha ini perlu didahului dengan pemeriksaan yang teliti ke atas Sukatan Mata Pelajaran/Huraian Sukatan Mata Pelajaran untuk memastikan objektif pentaksiran dan dimana perkara itu akan diuji atau ditaksir. Selepas mendapat maklumat tersebut, pembina haruslah menyediakan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU). Dengan membina JSU secara eksplisit, bermakna pembina itu diinginkan ujian pencapaian yang dibina itu dapat memberikan keputusan yang diwakili objektif pentaksiran yang ingin diuji. JSU itu juga sebagai carta yang dapat menolong menghasilkan satu sampel tugasan ujian yang mewakili kedua-dua aspek kesahan iaitu relevensi dan cakupan. Kesahan kandungan ini memerlukan pemeriksaan yang rapi ke atas ujian yang dibina. Bagi sesuatu ujian pencapaian, kesahan kandungan mungkin memuaskan pada seseorang tetapi mungkin tidak bagi guru yang lain. Ini kerana guru yang berbeza mengajar kandungan yang berbeza, menggunakan pendekatan yang berlainan berdasarkan pengalaman yang berbeza.
No comments:
Post a Comment