Tuesday, May 18, 2010

Mengenal Kufur Besar dan Kufur Kecil


Ibn Jarir al-Thobari menyatakan tiada sesuatu yang lebih besar sesiapa yang bertembung dengan kematian dan selepasnya. Kemudian diamankan mereka daripadanya. Dan Allah s.w.t berfirman pada ayat seterusnya berhubung orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan rasul-rasul-Nya. Seterusnya dinyatakan balasan mereka pada ayat berikut:

TAFSIR AYAT 39:

Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Firman Allah s.w.t; Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, iaitu mereka yang ingkar dengan apa yang Aku turunkan dan dengan apa yang Aku utuskan. Syeikh al-Syarbaji melalui tafsirnya, Tafsir al-Bashair berkata; mereka yang derhaka dan ingkar wahdaniyah Allah serta syirik dengan-Nya, disamping mereka ingkar dan mendustakan ayat-ayat Kami pada segala kitab yang Kami turunkannya kepada mereka. Ibn Jauzi berkata di dalam tafsirnya Zad al-Masir, pada ayat-ayat Kami di atas terdapat tiga pandangan ulama:
 i. Bermaksud sebagai tanda. Justeru makna ayat ialah tanda pemisahan kalam yang sebelum dengan yang selepasnya. Inilah pilihan Abi Ubaid.
ii. Bahawa dinamakan ayat kerana ia himpunan huruf-huruf daripada al-Quran.
iii. Bahawa dinamakan ayat kerana ia amat ajaib, seperti mana yang dinyatakan Ibn al-Anbari.


Dikehendaki dengan ayat-ayat di sini dengan empat pendapat:i. Segala ayat dalam kitab-kitab yang dibaca.
ii. Segala mukjizat nabi-nabi.
iii. Al-Quran.
iv. Tanda-tanda kuasa Allah pada segala perbuatannya.


Ulama Usuluddin atau aqidah membincangkan permasalahan kufur dalam kitab masing-masing. Kufur pada bahasa adalah tutupan, kerana hati orang kafir tertutup atau terkunci mati daripada mendapat hidayah Allah. Sedangkan kufur menurut istilah syarak ialah lawan daripada iman, iaitu tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sama ada kekufurannya itu diikuti dengan mendustakan Allah dan Rasul-Nya ataupun tidak diikuti dengan pendustaan. Malahan seseorang telah dihukumkan kufur jika syak atau ragu-ragu atau berpaling atau takbur terhadap kebenaran atau menurut hawa nafsu sehingga enggan mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w.
Kufur terbahagi kepada dua bahagian:
  1. Kufur Akbar (kufur besar).

  2. Kufur Asghar (kufur kecil).
KUFUR AKBAR

Kufur Akbar boleh mengeluarkan seseorang daripada agama Islam. Kufur jenis ini ada lima bahagian:
  1. Kufur Takzib, iaitu mendustakan ayat-ayat Allah atau hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
  2. Kufur Iba'wa Istikbar, iaitu kufur kerana enggan dan takabbur terhadap kebenaran walaupun ia mengakui kebenaran tersebut. Di antara contohnya ialah seperti keengganan dan kesombongan Iblis ketika disuruh sujud oleh Allah kepada Adam a.s.
  3. Kufur Syak atau Kufur Zann iaitu kufur ragu terhadap Hari Kiamat. Ini seperti ucapan orang kafir yang Allah kisahkan di dalam Surah al-Kahfi ayat 35 hingga 37.
  4. Kufur I`rad, iaitu kufur kerana berpaling daripada peringatan Allah. Di antara dalilnya iala firman Allah di dalam Surah al-Ahqaf ayat 3.

  5. Kufur Nifaq, iaitu kufur kerana menzahirkan keIslamannya dengan lisan tetapi tidak melaksanakan ajaran Islamnya dengan hati dan amalan. Kufur Nifaq terbahagi kepada dua jenis:
    i. Nifaq I`tiqadi, iaitu munafiq I`tiqad; jenis nifaq ini tempatnya di bahagian neraka paling bawah (Ahl al-Dark al-Asfali min al-Nar). Kufur ini terbahagi kepada enam bahagian:

    1. Mendustakan apa yang datang daripada Allah.
    2. Mendustakan sebahagian daripada apa yang datang daripada Allah.
    3. Mendustakan Rasulullah s.a.w atau apa yang datang daripadanya.
    4. Mendustakan sebahagian daripada apa yang datang daripada Rasulullah s.a.w.
    5. Benci terhadap kejayaan dan kemenangan Islam.
    6. Gembira dengan kemunduran Islam.
    ii. Nifaq `Amali, iaitu munafik amalan. Nifaq jenis ini tidaklah sampai mengeluarkan orang yang berkenaan daripada agama Islam. Dan nifaq ini terbahagi kepada lima bahagian:
    1. Jika bercakap ia bohong.
    2. Jika berjanji ia mungkir.
    3. Jika diberi amanahn ia khianat.
    4. Jika ia berkelahi ia berdendam.
    5. Jika bersumpah ia menipu.
KUFUR ASGHAR

Di antara contoh kufur jenis ini ialah:
  1. Kufur Ni'mat, iaitu kufur kerana tidak mensyukuri nikmat Allah, dalilnya di dalam Surah al-Nahl ayat 112.
  2. Kufur kerana membunuh orang muslim. Seperti riwayat Bukhari dan Muslim.
  3. Kufur kerana bersumpah dengan selain nama Allah. Seperti riwayat al-Tarmizi dan Sahih mengikut al-Hakim.
Mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya, iaitu mereka yang kekal dalam neraka jahim.
Bagi menjelaskan lagi hakikat neraka, dinaqalkan di sini kenyataan Abu Laith al-Samarqandi melalui kitabnya Tanbihul Ghafilin, berhubung dengan bab sifat api neraka dan sifat ahlinya:

  1. Daripada Abu Hurairah r.a berkata; Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
    " Api neraka dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga hitam gelap, bagaikan malam yang kelam."

  2. Abdullah bin Jubair meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
    "Bahawa di dalam neraka ada ular-ular sebesar leher unta, jika menggigit maka rasa pedih biasanya tetap terasa hingga empat puluh tahun. Juga di dalam neraka ada kala jengking sebesar keldai, jika menggigit maka akan merasa pedih biasanya selama empat puluh tahun."

  3. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
    "Sesungguhnya seringan-ringan seksa ahli neraka iaitu seorang yang berdiri kedua belah kakinya di dalam neraka, dan mendidihkan otaknya, seolah-olah ditelinganya ada api, dan gignya berapi dan bibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat seksanya dari semua ahli neraka, padahal ia sangat ringan siksanya dari semua ahli neraka."

  4. Daripada Abu Hurairah r.a berkata; Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
    "Allah memanggil malaikat Jibrail dan menyuruhnya melihat syurga dengan segala persiapan untuk ahlinya, maka ketika kembali Jibrail berkata; Demi kemuliaan-Mu tiada seorang yang mendengarnya melainkan ia akan masuk ke dalamnya, maka diliputi dengan serba kesukaran, dan menyuruh Jibrail kembali melihatnya, maka kembali melihatnya, kemudian ia berkata; Demi kemulian-Mu saya khuatir kalau-kalau tiada seorang pun yang masuk ke dalamnya. Kemudian disuruh melihat neraka dan semua yang disediakan bagi ahlinya, maka kembali Jibrail dan berkata; Demi kemuliaan-Mu tidak akan masuk ke dalamnya orang yang telah mendengarnya, kemudia diliputi dengan kepuasan syahwatnya, dan diperintah supaya kembali melihatnya kemudian setelah dilihatnya kembali, berkata; Saya khuatir kalau tiada seorangpun melainkan akan masuk ke dalamnya."

  5. Daripada Abdullah bin Amr r.a berkata:
    "Orang-orang neraka memanggil malaikat Malik, tetapi tidak menjawab selama empat puluh tahun, kemudian dijawab: Bahawa kamu tetap tinggal dalam neraka. Kemudian mereka berdoa (memanggil) Tuhan: Ya Tuhan keluarkanlah kami dari neraka ini, maka bila kami mengulangi perbuatan-perbuatan kami yang lalu itu bererti kami zalim, maka tidak dijawab selama umur dunia ini dua kali, kemudian dijawab: Hina kamu di dalam neraka dan jangan berkata-kata. Demi Allah setelah itu tidak ada yang dapat berkata-kata walau satu kalimat, sedang yang terdengar hanya nafas keluhan dan tangis rintihan yang suara mereka hampir menyamai suara himar (keldai)."

  6. Seorang pujangga berkata:
    "Dalam usia tua itu cukup pengalaman untuk mencegah orang yang tenang dari sifat kekanak-kanakan, apabila telah menyala api dirambutnya (beruban). Saya melihat seorang itu ingin hidup tenang bila dahan pokok telah menguning sesudahnya hijau. Jauhilah kawan yang jahat, dan berhati-hatilah jangan menghubunginya, tetapi bila tidak dapat, maka ambil hati-hatinya. Dan berkawanlah pada orang yang jujur, tetapi jangan suka membantah padanya, engkau pasti akan disukai selama kau tidak membantah kepadanya. Berkawanlah dengan orang bangsawan dan berakhlak, baik budinya. Maka siapa yang berbuat baik pada orang yang tidak berbudi, bererti ia telah membuang budi itu dalam laut. Dan Allah mempunyai syurga yang sebesar langit, tetapi diliputi dengan kesukaran-kesukaran."
Sumber: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI - http://ummatanwasatan.net/

No comments:

Post a Comment