Thursday, May 20, 2010

Khutbah Pilihan 1


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Apa yang membezakan manusia dan malaikat adalah pada kemampuan manusia membuat pilihan. Keupayaannya untuk memilih kebaikan dan dalam masa yang sama menolak kejahatan, menjadikan manusia itu sentiasa berusaha menjadi lebih baik, dan memindahkan kebaikan itu kepada kehidupan di sekitarnya.
Semasa memilih kebaikan, dia mendapat kebaikan.
Semasa terpilih kejahatan, usahanya untuk kembali kepada kebaikan menjadikannya kembali baik malah bertambah baik.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'aala:

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) [Al-Shams 91: 7-10]
Setiap hari kita membuat keputusan. Semasa mendengar azan subuh, kita membuat pilihan pertama sama ada mahu bangun atau tidur kembali. Memilih baju, memilih kasut, memilih sarapan, dan memilih jalan. Pilihan-pilihan itulah tempat Allah menilai kita. Pilihan yang baik mengundang kebaikan. Pilihan yang jahat mengundang sesal lagi mudarat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bagaimanakah pilihan-pilihan kita setakat ini?
Pilihan semasa hidup susah.
Pilihan semasa hidup senang.
Semasa susah kita tiada banyak pilihan.
Semasa senang, kita diuji dengan banyaknya pilihan. Antara Halal dan Haram, antara Kufur dan Iman.
Merujuk kepada kisah Nabi Allah Yusuf alayhi al-Salaam, baginda berada di dalam ujian yang berat semasa terkurung dalam buangan di lubang telaga akibat konspirasi adik beradiknya. Bayangkan, seorang budak, terpisah daripada ibu bapanya, terbuang ke telaga buta, siang dan malam dalam kegelapan dan sendirian, apakah ada yang lebih teruk untuk dialami oleh seorang budak seperti Yusuf?
Tetapi semasa di dalam telaga, Yusuf tiada banyak pilihan. Bersabar adalah satu-satunya cara untuk baginda bertahan. Baginda terpaksa bertahan. Terpaksa bersabar. Itu sahaja pilihan yang ada.
Akan tetapi, ujian yang menjadikan Yusuf seorang insan pilihan Allah yang begitu hebat adalah semasa baginda di istana Mesir.
Di dalam telaga, Yusuf diuji.
Di dalam istana, Yusuf masih juga diuji.
Hidup adalah ujian.
Firman Allah:


"Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya" [Yusuf 12: 23]
Benar!
Itulah saat paling genting buat Yusuf.
Diuji dengan pilihan.
Wanita bangsawan yang selama ini menjadi ibu angkatnya, menyerahkan diri untuk dijamah dengan zina. Sedangkan Yusuf ada banyak peluang. Beliau adalah anak asing di bumi Mesir. Tiada ibu bapa, tiada adik beradik dan saudara mara, tiada muka yang bakal diconteng arang!
Saat itu, Yusuf diuji, menerima zina yang enak untuk sebuah kecenderungan nafsu, atau menolaknya dengan kuasa Iman.
"Datanglah kepadaku" kata wanita yang digelar Zulaikha itu.
"Aku berlindung dengan Allah!" itulah jawapan Yusuf.
Engkau selama ini adalah ibu angkatku, engkau memberiku bumbung untuk berteduh, engkau memberiku lantai tempat bersantai, engkau memberiku makan dan minum, engkau tuanku tetapi ALLAH adalah TUHANKU!
Sesungguhnya Dia telah melindungiku selama ini, dan tidak akan berjaya orang-orang yang zalim!
Itulah penegasan Yusuf. Baginda berjaya dalam ujian pilihannya. Memilih untuk menolak zina, semata-mata kerana IMAN.
Sidang Jumaat sekalian,
Ramai di kalangan kita yang bertahan dalam ujian kesusahan.
Tetapi bagaimana dengan ujian kesenangan?
Hari ini, anak-anak muda di Universiti boleh mendapat wang secara mudah melalui pilihan zina. Menyerah diri menjadi pelayan seks kepada manusia-manusia keji yang berwang, membolehkan mereka mengatasi masalah kekurangan wang pinjaman, memakai telefon bimbit mewah, menukar motorsikal kepada kereta dan memakai pakaian berjenama, hanya dengan berkata YA kepada peluang yang terbentang di depan mata. Buat kerja paling sedap, dapat hasil paling mantap!

Daripada Ibn Masoud radhiyallahu 'anhu beliau berkata: Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya di antara perkara yang diketahui oleh sekalian manusia daripada kalam nukilan Kenabian ialah: Jika kamu sudah tiada rasa malu, maka buat sahajalah apa yang kamu suka! [Hadith riwayat al-Bukhari]
Malu yang datang dari Iman.
Namun, apakah caranya untuk anak-anak muda kita memiliki keyakinan seperti Yusuf? Keyakinan bahawa Allah tidak akan sekali-kali memberi kejayaan hidup kepada manusia yang zalim. Keyakinan untuk berkata TIDAK kepada ZINA!
Jauh dari keluarga, seperti jauhnya Yusuf dari bumi Palestin, bagaimanakah anak perantau di Menara Gading boleh menolak zina yang pada hari ini, zina itu lebih mudah berbanding jalan yang halal?
Tiadalah jawapan lain, kecuali kembali kepada IMAN.
Iman yang membimbing kita membuat pilihan dalam kehidupan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya itulah hikmah mengapa kita diberi peringatan tentang TAQWA, saban minggu di Mimbar Jumaat ini.
TAQWA seperti yang dijelaskan dalam perbualan Ubai bin Kaab bersama Umar al-Khattab radhiyallahu 'anhuma.

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubai bin Kaab radhiyallahu 'anhuma tentang TAQWA. Lalu Ubai menjawab dengan menyoal: Apakah engkau pernah menempuh jalan yang banyak duri? Umar menjawab: Sudah tentu. Lalu Ubai bertanya lagi: Justeru apakah yang engkau lakukan? Umar membalas: Aku akan melangkah dengan teliti dan berhati-hati. Kata Ubai: Maka demikian itulah maksud TAQWA.
Sesungguhnya hidup kita ini adalah sebuah perjalanan. Di kiri dan kanannya ada banyak duri, banyak cabaran. Ada duri yang mengundang luka, yang berkehendakkan kita supaya berada di tahap sedar yang tinggi, serta sentiasa mampu mengawal diri.
Sedarlah!
Kawallah!
Hidup ini menuntut kita membuat pilihan.
Pilihlah jalan yang memberi bahagia Dunia dan Akhirat.
Jauhilah pilihan yang buta, mencari sedap yang seketika, tetapi derita selama-lamanya.
Jangan banyak memberi alasan.
Semakin banyak memberi alasan, semakin hilanglah daripada hidupmu, rahmat dan bantuan Tuhan.


sumber: saifulislam.com

No comments:

Post a Comment