Tuesday, May 4, 2010
Keadaan Roh Setelah Jenazah Selesai Diuruskan
Roh yang dirahmati Allah dibawa menuju ke syurga untuk melihat tempat kediamannya sebaik sahaja berpisah dengan jasad. Proses ini berlaku semasa sebelum mayat diuruskan iaitu dimandi, dikafan dan dibawa ke tanah perkuburan. Menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Kaysul Ulumil Akhirah;
"Apabila roh berpisah dari badan, roh manusia akan tetap menjadi sama besar dengan jasad dan dipakai bagi roh mukmin itu dengan pakaian yang indah dan bauan yang sangat harum. Kemudian roh itu akan dibawa ke langit melintas para roh yang mati lebih awal. Keadaan roh itu seumpama belalang yang berterbangan."
Apabila roh yang baru dibawa dan sampai ke langit pertama dan pintu langit pertama diketuk. Bertanyalah penjaga pintu langit; "Siapakah anda?" Lalu malaikat yang mengiringi roh menjawab; "Aku malaikat Solsoil yang membawa roh si anu." Nama roh disebut dengan panggilan yang penuh penghormatan dan penuh kemuliaan. Maka malaikat yang menjaga pintu syurga membuka pintu langit dan menyambut roh tersebut dengan penuh hormat dan kegembiraan. Ini kerana mereka sentiasa menunggu-nunggu orang yang namanya tersenarai sebagai di dalam senarai orang yang menjaga dan memiliki akidah yang sahih.
Seterusnya roh dibawa naik ke langit kedua. Malaikat yang menjaga pintu langit kedua menerima dan mengalu-alukan kedatangan roh tersebut kerana memiliki amalan solat yang sempurna zahir dan batin.
Apabila sampai ke langit ketiga, roh disambut dengan penuh takzim oleh malaikat kerana semasa hidup di dunia sangat teliti dalam menjaga harta dan hanya mencari harta dan hanya mencari harta yang dihalalkan Allah s.w.t.
Selanjutnya roh dibawa melintasi langit keempat. Di sini malaikat mengalu-alu ketibaannya kerana amalan puasanya yang sangat terpelihara dan bebas dari perkara yang mencacatkan ibadat puasa.
Kemudian roh dibawa ke langit kelima. Disini roh diberi penghormatan kerana menyempurnakan haji dengan iklas dan tidak dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.
Di langit keenam, roh dipersilakan naik dan diberi penghormatan kerana tidak pernah menyakiti hati ibu bapa semasa hidup di dunia.
Apabila sampai di langit ketujuh, maka roh disambut dengan penuh kemeriahan kerana disaat orang lain lena tidur, ia bangun bersembahyang malam memohon keampunan kepada Allah s.w.t. dan bersifat lemah-lembut dan menjaga anak-anak yatim.
Demikianlah perjalanan roh sehingga akhirnya apabila melepasi langit ketujuh sampailah ia ke suatu tempat yang bernama Suradiq, iaitu suatu mahligai yang menempatkan roh orang-orang yang beriman. Apabila roh berada di tempat perkumpulan para roh, mengikut Abu Ayub Al Ansari dari Rasulullah s.a.w., para roh yang baik itu akan bertanya khabar kepada roh yang baru sampai. Pertemuan dengan roh yang baru berpisah dengan jasad dengan roh yang sudah lama meninggal umpama pertemuaan jejak kasih yang saling merindui khususnya roh yang sudah lama meninggal dengan roh yang baru sampai. Roh-roh ini sudah tidak sabar untuk bertanya kepada roh yang baru datang mengenai hal keadaan janda-janda yang ditinggalkan, adakah sudah berkahwin lain atau belum, hal keadaan anak-anak dan saudara mara juga hal keadaan harta yang ditinggalkan.
Bergembiralah roh yang menerima khabar baik dari roh yang tiba. Berdukacitalah roh yang menerima cerita buruk dari roh yang baru sampai. Terkejut besarlah roh yang sudah lama meninggal jika diberitahu oleh yang baru tiba bahawa si anu sudah lama meninggal dunia. Ini kerana roh tidak bersama mereka, roh itu adalah roh yang dimurkai Allah yang berada bersama-sama roh Firaun, Haman, Qarun dan Segala roh yang jahat.
Para roh yang mukmin akan merasa pilu mengenangkan nasib saudara mara dan sahabat yang terpaksa dihimpunkan bersama roh yang jahat kerana mereka terpaksa berpisah buat selama-lamanya.
Abu Darda berkata, Segala amalan orang yang masih hidup didedahkan kepada roh-roh yang telah mati. Oleh itu, roh orang mukmin akan melihat amal kebajikan anak-anak dan kaum keluarga mereka masih hidup di muka bumi. Manakala roh orang tidak beriman, akan merasa dukacita apabila diperlihatkan amalan buruk anak-anak dan keluarga mereka yang masih hidup di muka bumi.
Apabila mayat Selesai dimandi dan dikafankan, roh dibawa semula ke badan si mayat yang sedang dikafankan.
Abu Siad Al Khudri meriwayatkan katanya, Rasulullah s.a.w bersabda dengan maksudnya;
"Sesungguhnya mayat itu tahu siapa yang memandikan, mengusung dan memasukkannya ke dalam kubur. Ia dapat mengetahui kerana adanya perhubungan roh dengan badan".Apabila mayat di masukkan ke dalam liang lahad , maka roh dikembalikan ke jasad untuk menjalani soal jawab dengan Malaikat munkar dan Nakir.
Sebenarnya proses kematian adalah proses perpindahan dari satu negeri dunia ke negeri akhirat. Seperti lazimnya apabila sampai di sempadan antara negeri terdapat imigresen dan kastam yang menunggu untuk membuat pemeriksaan. Begitulah tugas Malaikat Munkar dan Nakir yang memeriksa seseorang yang berpindah dari alam dunia ke alam akhirat.
Setelah Selesai proses di alam kubur, roh akan ditempatkan mengikut kadar rahmat Allah s.w.t yang diterimanya.
Abdullah Ibnu Masud memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda dengan maksudnya: " Roh-roh para syuhada berada di dalam tembolok burung hijau. Ia bebas bersiar-siar di dalam syurga mengikut kehendaknya. Kemudian bebas kembali ke qandil-qandil bekas kaca bercahaya yang berada di bawah arasy".
Abdullah bin Abbas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Ketika sahabat kamu terkorban di dalam peperangan Uhud, Allah menempatkan roh mereka dalam tembolok-tembolok burung hijau, yang menuju ke sungai-sungaisyurga dan memakan buah-buahan. Mereka kembali ke qandil-qandil emas yang tergantung di bawah bayangan arasy".Roh orang yang beriman saling ziarah menziarahi antara satu sama lain. Abu Bisyhr menyatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya roh orang mukmin bersiar-siar di Syurga mengikut kehendaknya , manakal roh orang kafir di penjara (penuh seksaan dan berbau bangkai yang busuk) di satu tempat yang dipanggil Sijjil".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment