Saturday, May 1, 2010

Perjalanan Roh


Kepulangan roh yang baik ke akhirat umpama orang yang pulang ke kampung, di hari raya. Semua sanak saudara menunggu-nunggu kepulangannya. Begitu gembiranya para malaikat menunggu kepulangan roh yang baik. Bagi roh yang jahat kepulangannya umpama pesalah pemergian pesalah ke penjara. Persalah di penjara di sambut dengan hukuman yang berat. Tidak ada warder yang gembira dengan kehadiran mereka. Begitu juga para malaikat tidak ada perasaan gembira menyambut roh yang jahat. Sementara itu musuh dan waris sentiasa mengutuk pemergian mereka dan bersyukur dengan kehilangannya di muka bumi.

Roh di dalam bahasa Arab bermaksud hembusan atau tiupan. Menurut Al Farraq, Roh adalah sesuatu yang membolehkan Manusia hidup. Abu Hisyam pula menyatakan, Roh adalah angin yang digunakan manusia untuk bernafas. Ia wujud dengan meresap ke dalam tubuh dan ketiadaannya boleh menyebabkan kematian.
Roh juga dikatakan objek yang mempunyai tenaga tersendiri yang menjadikan manusia berfikir dan memahami. Penyatuan roh dan akal melahirkan perasaan seperti sedih, gembira, simpati, rindu, sayang dan sebagainya.

Menurut Imam Al Ghazali, Roh adalah amat halus dan berpunca dari hati. Ia tersebar ke seluruh tubuh melalui nadi, urat dan darah. Roh inilah yang memancarkan keupayaan mendengar, mencium dan melihat serta menjadi semua organ berfungsi. Tanpanya seseorang itu tidak berfungsi dan dipanggil mayat atau jenazah.

Apabila saat perpisahan roh dari tubuh badan, atau kematian bahagian awal mati ialah sendi-sendi di telapak kaki. Segala sendi ini akan saling mengucapkan selamat tinggal antara satu sama lain. Kematian berlaku dari kaki ke buku lali, betis, lutut, paha, paha, punggung, pinggang, dada, leher dan akhirnya kepala.

Menurut Ibnu Masud, Bahawa apabila roh orang yang beriman akan dibawa keluar, Allah s.w.t. meminta Malaikat Maut menyampaikan salamnya kepada orang sedang mati. Abu Hurairah pula menyatakan, Roh yang berbahagia itu memohon agar disegerakan dibawa menemui Allah Yang Maha Pengasih. Ibnu Abi Dunya meriwayatkan satu hadis yang bermaksud:

    "Sesungguhnya apabila Allah meredhai seseorang maka Dia akan berfirman kepada Malaikat Maut; 'Wahai malaikat, pergilah temui si fulan anak si fulan, ambillah rohnya agar dia beristirehat. Aku akan membalas semua amalannya, Aku telah mengujinya dan sesungguhnya ia telah membuat aku senang padanya.' Maka Malaikut Maut pun pergi dengan membawa lima ratus malaikat yang memegang tumbuh-tumbuhan yang berbau harum bersama zakfaran dan masing-masing mengalu-ngalukan roh dengan berita gembira yang berbeza. Lalu malaikat tersebut berbaris menjadi dua barisan untuk menyambut roh tersebut dengan penuh kemuliaan. Apabila melihat kejadian ini iblis mengeluh dengan kesalnya dan menyebabkan anak buah datang bertanya; 'Apakah membuat tuan berdukacita?' Jawb iblis; 'Tidakkah kamu melihat betapa keagungan yang diberikan kepada hamba itu? Bagaimana dengan usaha kamu semua menggodanya?' Jawab anak buahnya; 'Kami telah keras tetapi hamba itu benar-benar menjauhi dosa dan selalu menjaga dirinya.' Apabila ahli syurga memasuki syurga maka terdengarlah suara yang menyeru; 'Kamu semua akan terus hidup dan tidak mati. Kamu semua akan sihat dan tidak akan sakit, kamu semua akan jadi muda tidak akan tua dan kamu semua akan bersenang lenang dan tidak akan susah selama-lamanya."
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:

    "Secerdik-cerdik manusia adalah yang paling banyak ingatkan kematian serta banyak bersiap untuk kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat." (Ibnu Majah dan Ibnu Abiddunya)
Rasulullah s.aw. bersabda bermaksud:

    "Apabila kematian sudah menimpa seseorang hamba maka harta bandanya untuk waris, nyawanya untuk malaikat maut, dagingnya untuk ulat, tulangnya untuk kembali debu dan Segala kebaikannya untuk para musuhnya"Kata Imam Abu Hanifah:

    "Kebanyakan iman seseorang hamba rosak di waktu nazak."

No comments:

Post a Comment